Felda 2.0 Bukti Kesungguhan Kerajaan Pastikan Kelangsungan Felda – Khaled

Felda 2.0 Bukti Kesungguhan Kerajaan Pastikan Kelangsungan Felda – Khaled

MUAR, 9 Feb – Langkah kerajaan pusat memperkenalkan inisiatif Felda 2.0 menunjukkan kesungguhannya dalam membangunkan paradigma baharu bagi memastikan kelangsungan Felda, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata inisiatif itu membolehkan rakyat melihat secara jelas bagaimana kepimpinan sekarang, iaitu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hingga Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad sentiasa memikirkan cara untuk menyediakan Felda dengan pelbagai persaingan dan cabaran baharu.

Katanya, Felda yang dahulunya diwujudkan untuk membasmi kemiskinan telah melalui perubahan dan kini kemiskinan bukan lagi menjadi isu dan cabaran buatnya.

“Ini kerana ramai daripada penerokanya telah berjaya menjalani kehidupan sejahtera dengan keluar daripada kepompong kemiskinan, hasil daripada penyertaan mereka dalam Felda,” katanya pada majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pagoh di Felda Maokil di sini, hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun di sebalik pencapaian itu, beliau menegaskan amat penting bagi Felda hari ini memastikan ia dapat menjana kemahiran dan membangunkan kapasiti masyarakat Felda.

“Ini adalah paradigma baharu untuk Felda bagi memastikan kelangsungan mereka dan saya percaya apabila kerajaan melancarkan Felda 2.0, itu tandanya Felda akan terus wujud dalam negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Inisiatif Felda 2.0 dilancarkan pada Ahad lepas sebagai mentranformasi dan memberi wajah baharu kepada 317 kawasan tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Ia bakal memberi fokus bukan sahaja untuk mewujud komuniti Felda yang pintar,mampan dan berdaya tahan tetapi juga lestari dari segi ekonomi dan alam sekitar.

Mohamed Khaled berkata di peringkat kerajaan negeri, pihaknya akan memastikan Felda tidak terbiar dan terasing daripada kemajuan digital agar peneroka dapat membongkar lebih banyak potensi ekonomi pada masa datang.

“Tidak ada kawasan Felda di Johor ini yang akan tersasar dari ‘digital super highway Johor’. Felda dan warganya mesti mempunyai kesalinghubungan atau ‘connectivity’ kurun ke 21. Ia adalah modal terpenting untuk kemandirian dan kemajuan Felda dan lingkungannya,” katanya.

Mohamed Khaled berkata dalam masa yang sama, kerajaan negeri akan melatih ribuan generasi ketiga dan keempat Felda dengan kemahiran bersifat sezaman.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, sebanyak 5,000 generasi muda Felda dalam bidang pertanian moden disasarkan untuk dilahirkan menjadi usahawan tani, katanya.

Beliau berkata untuk menyokong usaha itu, kerajaan negeri melalui Tabung Latihan Kemahiran Johor di bawah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta khusus untuk melatih dan memberi kemahiran kepada anak-anak muda Felda.

Pada majlis itu, seramai 721 peneroka FELDA menerima notis 5A (geran hak milik tanah) masing-masing setelah penantian kira-kira 30 tahun.

Kesemua geran yang diberi itu meliputi keluasan tanah rumah 200 ekar (80.93 hektar) dan 7,823 ekar (3,165.8 hektar) tanah ladang.

Setakat ini, seramai 22,600 daripada 26, 887 peneroka Felda di seluruh Johor telah menerima geran masing-masing manakala selebihnya dalam proses pemberian.

Leave a Reply