Dari Peringkat Negeri Hingga Kawasan Parlimen, Perang Pakatan Makin Kronik

Dari Peringkat Negeri Hingga Kawasan Parlimen, Perang Pakatan Makin Kronik

JOHOR BAHRU, 8 Feb – Pertelingkahan di Selangor seakan-akan tidak menemukan titik noktah apabila isu pengagihan kerusi DUN terus dipertikaikan antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor, Dhia Hani berkata, PKR, Dap, PAN dan PPBM tidak henti-henti bertikam lidah dan tuding menuding menjadi jalan penafian bagi menutup kegagalan masing-masing malah serang menyerang juga berlaku antara pemimpin setiap parti.

Beliau turut menyingkap kes di mana Pengerusi PAN Selangor, Mohd Izham Hashim menyelar dan menggelarkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebagai ‘badut’ kerana telah membelakangkan parti lain.

“Hal ini disebabkan Azmin Ali telah mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan parti yang lain. Apa sudah jadi dengan Pakatan Harapan?Jika dilihat, kemelut ini terus berpanjangan adalah disebabkan parti komponen dalam Pakatan Harapan gagal berbincang dan bermusyawarah dengan sebaiknya untuk mendapatkan jalan penyelesaian.

“Jika hal sekecil ini sukar mendapat kata putus dari setiap parti, bagaimana pula apabila mereka menang kelak? Makin kucar-kacir jadinya,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Malah beliau berkata, perkara ini bukan sahaja berlaku di Selangor tetapi ia turut berlaku di Gelang Patah, Johor di mana berlaku pertelingkahan melibatkan Mohd Fahim Farid, Exco Pemuda PPBM dengan Zaid Ibrahim, ahli Dap.

“Mohd Fahim dikatakan tidak berpuas hati kerana Zaid Ibrahim telah dicalonkan sebagai MP Gelang Patah. Dan dalam masa yang sama, Mohd Fahim juga kecewa kerana hilang hak disebabkan kerusi di Gelang Patah diambil oleh Dap dan PAN.

“Jika kita imbas kembali beberapa tahun sebelum ini, Zaid Ibrahim pernah menyertai parti PKR dan tidak lama selepas itu Zaid Ibrahim keluar dari parti tersebut atas alasan tidak sekepala dengan Azmin Ali. Walau bagaimanapun, pada tahun lepas Zaid Ibrahim telah berubah angin ke Dap pula”, jelasnya.

Melihat daripada senario ini tegasn beliau sudah terbukti parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan tidak mempunyai sikap persefahaman, toleransi dan kerjasama dari dulu lagi.

“Jadi tidak hairanlah, jika hampir setiap hari rakyat dihidangkan dengan drama perbalahan dan pergaduhan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.

“Secara tidak langsung, keadaan ini juga menambahkan rasa ragu dalam diri saya terhadap urus tadbir Pakatan Harapan jika mereka mendapat mandat di Johor. Mampukah setiap parti komponen dalam Pakatan Harapan mendapatkan kata sepakat untuk mentadbir negeri Johor dengan sebaiknya?,” soal beliau.

Justeru katanya lagi melihat kepada pergolakan yang berlaku dalam Pakatan Harapan membuktikan bahawa mereka tidak layak mengambil alih negeri Johor apatah lagi seluruh Malaysia.

Leave a Reply