Lima Ditahan, Dadah Bernilai RM1.43 Juta Dirampas Di JB

Lima Ditahan, Dadah Bernilai RM1.43 Juta Dirampas Di JB

JOHOR BAHRU, 4 Feb  — Polis Johor menahan lima individu dipercayai pengedar dadah sejak empat bulan lepas dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.43 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari, Skudai, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun, seorang wanita tempatan berumur 44 tahun serta seorang wanita warga Vietnam berumur 22 tahun itu ditahan pada 12.10 malam selepas polis menjalankan risikan sejak empat bulan lepas.

“Kesemua dadah yang dirampas adalah serbuk ekstasi seberat lebih 10.2 kilogram, ketamin 5.62 gram, syabu 140.01 gram, 130 biji pil Eramin 5 seberat 37.53 gram serta empat biji pil ekstasi seberat 1.45 gram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata pemeriksaan mendapati, sebahagian dadah itu diedar dengan cara mencampurkannya ke dalam paket serbuk minuman teh berperisa mangga bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata polis merampas beberapa bahan dan peralatan dipercayai bagi memproses dadah berkenaan termasuk empat botol cecair berperisa mangga, dua botol berisi serbuk merah, alat pemampat dan alat penimbang digital.

Katanya polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi dan Proton Waja serta wang tunai berjumlah RM900.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kelima-lima mereka positif dadah jenis methamphethamine dan ketamin. Dua lelaki pula mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Kesemua mereka kini direman sehingga 8 Feb ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata pihaknya akan melakukan operasi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan dalam tempoh terdekat khususnya menahan individu yang mengubah suai bunyi ekzos motosikal.

“Polis Johor akan menggerakkan kekuatan bagi mengadakan rondaan membabitkan rondaan kawalan khusus ala CHiP (California Highway Patrol) iaitu dengan mengawal dua laluan secara serentak, rondaan juga akan dilakukan di kawasan bandar utama antaranya Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Segamat,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lepas, sebanyak 565 operasi lumba haram dan samseng jalanan dijalankan polis negeri ini bagi membanteras kegiatan tersebut manakala sebanyak 2,379 motosikal disita dan 99 individu ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan keselamatan orang lain.

Leave a Reply