Peruntukan Manfaatkan Felda Jadi Lebih Mapan, Pintar – Shahrir

Peruntukan Manfaatkan Felda Jadi Lebih Mapan, Pintar – Shahrir

BENTONG, 4 Feb  — Peruntukan RM50 juta bagi mentransformasikan lima tanah rancangan Felda tahun ini akan dimanfaatkan untuk menjadikan ia lebih mapan dan pintar seiring dengan perkembangan semasa.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata sebanyak 10 lagi tanah rancangan yang masing-masing diberi peruntukan sebanyak RM10 juta akan dipilih kemudian menerusi Inisiatif Felda 2.0.

“Kami mohon geran padanan sebagai usaha membawa pembangunan seimbang untuk peneroka Felda.

“Inisiatif Felda 2.0 adalah usaha kita untuk merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dengan bandar selain menjadikan komuniti Felda sebagai komuniti pintar dan lestari,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan pada pelancaran Inisiatif Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut di sini, harin ini.

Inisiatif Felda 2.0 dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Felda Lurah Bilut dipilih sebagai perintis yang membuktikan usaha berterusan Felda untuk menaik taraf aspek ekonomi, alam sekitar, pendidikan, teknologi dan kesihatan di setiap tanah rancangannya di seluruh negara.

Shahrir, yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru dan dilantik sebagai pengerusi Felda pada Januari lepas, berkata pembangunan Felda bukan sahaja difokuskan kepada aspek teknologi dan infrastruktur malah, mengekalkan alam sekitar sebagai aset masa depan.

“Saya kagum dengan keindahan semula jadi yang ada di Felda Lurah Bilut ini di mana ada dua sungai mengalir. Kita akan rawat air Sungai Bilut dan Sungai Kertau (boleh diminum) untuk kegunaan peneroka,” katanya.

Sebagai generasi anak-anak Tun Abdul Razak, pemimpin yang bertanggungjawab memperkenalkan Felda, Shahrir berkata setiap peneroka dan generasi baharu perlu mempunyai semangat dan keberanian yang dibantu ilmu terkini serta cita-cita yang besar untuk melakukan transformasi Felda.

“Tun Abdul Razak bawa kemajuan dan pembangunan kepada rakyat khususnya peneroka. Sejarah pembukaan Felda Lurah Bilut pada 60 tahun lepas tidak hanya kekal dalam buku sebaliknya, sejarah boleh mengajar kita untuk mengulangi pencapaian kita,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Felda Lurah Bilut sebagai perintis tanah rancangan berkelompok pertama yang disuntik dengan elemen digital, Shahrir berkata projek perintis itu akan memacu masyarakat Felda menjadi Felda terbuka dan terhubung.

Empat belas agensi kerajaan dan swasta terlibat sebagai rakan muafakat Inisiatif Felda 2.0 termasuk Lembaga Getah Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, CIMB, Yayasan Hasanah dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Leave a Reply