JDT Rangkul Juara Sumbangsih 2018

JDT Rangkul Juara Sumbangsih 2018

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Juara  bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan musim 2018 dengan langkah kanan setelah menewaskan juara Piala FA, Kedah 2-1 pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan merampas kembali Piala Sultan Ahmad Shah daripada skuad Lang Merah setelah tumpas kepada pasukan lawan pada musim lepas di venue yang sama.

Pada aksi di Larkin, pemain import dari Brazil, Marcos Antonio muncul wira pasukan JDT apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-57 setelah memanfaatkan hantaran daripada La Vere Lawrence Corbin Ong.

Terdahulu, JDT dan Kedah terikat 1-1, dengan pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi jaringan pemain import dari Sepanyol, Pablo Pallares Marzo sebelum pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa menyamakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-28.

Pasukan Melaka United turut meraih tiga mata berharga setelah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.

 

Kelantan terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Bruno da Silva Lopes seawal minit pertama perlawanan, sebelum Melaka United bangkit meraih dua jaringan menerusi Yahor Zubovich pada minit ke-17 dan sepakan penalti Jeon Woo Young pada minit ke-30.

Turut meraih tiga mata penuh adalah pendatang baharu Liga Super, Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang menundukkan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, hasil jaringan pemain import dari Kemboja, Keo Sokpheng pada minit ke-49.

Dalam pada itu, pasukan Terengganu FC I (TFC I) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 2-2 menentang PKNS FC pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad Penyu dijaringkan pemain import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche pada minit ke-23 dan ke-73 manakala dua gol pasukan PKNS FC disumbangkan Mohammad Qayyum Marjoni Sabil pada minit ke-39 dan Rafael Ramazotti De Quadros pada minit ke-68.

Dua lagi aksi Liga Super akan berlangsung malam esok, melibatkan pertemuan antara Pahang dan Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan, dan perlawanan antara dua pasukan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Leave a Reply