e-Learning Johor Memberi Pendidikan Tambahan Melalui Online Untuk Anak-Anak Johor – @KhaledNordin

PASIR GUDANG, 3 Feb – Kerajaan Negeri Johor melancarkan Program E-Learning Johor 2018 dengan menyasarkan seramai 25,000 pelajar di seluruh Johor yang akan mengikuti pembelajaran tambahan menerusi sebuah laman web khas.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program berkenaan diwujudkan adalah supaya Johor dapat memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

“Ini disebabkan Johor juga mahu menjadi negeri yang terbaik dan ianya hanya terjelma apabila anak bangsa menerima pendidikan terbaik.

“Kita bukan orang politik yang hanya tahu cakap sedap di mulut sahaja, tetapi kita  turut merealisasikannya serta menepati janji dan berusaha untuk merealisasikannya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor juga melaksanakan program berkenaan kerana sudah tiba masanya pendidikan digerakkan selari dengan kemajuan teknologi dan menunjukkan bahawa pembelajaran serta pendidikan bukanlah sesuatu yang membosankan dan membebankan.

“Kita mesti tunjukkan dalam menuntut ilmu, menguasai pendidikan dan kemahiran adalah sesuatu yang membawa kegembiraan, malah pembelajaran dan pendidikan mesti dipersembahkan dengan cara yang menarik, selain dibawa kepada anak-anak kita dengan cara yang mudah, murah,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, dia mahu semua pihak sama ada kerajaan, swasta, sekolah atau ibu bapa bersama-sama untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Johor.

“Memang tugas rasmi kerajaan memberi pendidikan, tetapi ini tidak bermakna masyarakat kita boleh lepas tangan dan kita tidak mahu masyarakat mempunyai mentaliti sedemikian di Johor.

“Masyarakat di Johor mesti membuka mata dan minda untuk melihat pendidikan sebagai satu tanggungjawab secara kolektif,” katanya.

 

 

Leave a Reply