Kadar Levi Di Linkedua Dikurangkan Bagi Mengatasi Kesesakan Di Tambak Johor – @AKaprawi

JOHOR BAHRU, 2 Feb — Kadar levi kenderaan komersial yang menggunakan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) kini ditetapkan pada RM50 berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata sebelum ini kadar levi kenderaan komersial adalah RM200, namun, diputuskan dikurangkan sebanyak RM150 kepada RM50 oleh Kabinet, minggu lepas.

“Pengurangan kadar adalah bertujuan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor kerana ramai pengguna kenderaan dari Johor yang bekerja di Singapura telah memaklumkan kesesakan di Tambak Johor membimbangkan.

“Untuk mengatasi kesesakan di Tambak Johor, maka, kerajaan bersetuju untuk mengurangkan levi sebanyak RM150 kepada kenderaan komersial yang menggunakan Linkedua. Dengan pengurangan itu, kerajaan yakin banyak syarikat pengangkutan akan menggunakan Linkedua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Ab Aziz berkata pengurangan levi tersebut hanya ditetapkan di Linkedua, namun, kadar levi di Tambak Johor kekal RM200.

Menurut Ab Aziz pihaknya tidak mempunyai data tepat terhadap kenderaan komersial yang menggunakan Tambak Johor dan Linkedua ke Singapura setiap hari, namun, dijangkakan separuh daripada kenderaan komersial yang menggunakan Tambak Johor ketika ini akan beralih menggunakan Linkedua selepas ini selaras dengan pengurangan levi tersebut.

 

 

Leave a Reply