Ringgit Mengukuh Tanda Keberjayaan Dasar Ekonomi Kerajaan Barisan Nasional – @AKaprawi

Ringgit Mengukuh Tanda Keberjayaan Dasar Ekonomi Kerajaan Barisan Nasional – @AKaprawi

 

BATU PAHAT, 1 Feb – Matawang Malaysia dilihat semakin mengukuh dan menunjukkan ianya satu keberjayaan dasar ekonomi kerajaan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) 

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kali terakhir dilihat kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia berbanding USD adalah pada kadar yang tertinggi sejak April 2016 iaitu pada kadar 3.8853 berbanding USD.

“Ringgit Malaysia juga mendapat kedudukan pertama antara kesemua matawang Asia yang mengukuh berbanding USD dengan kadar peningkatan 4.14%.

“Manakala matawang Thailand, Baht pula menduduki kedudukan kedua dengan peningkatan 3.6% dan matawang Jepun, Yen di kedudukan ketiga dengan 3.36%.

“Pakar ekonomi Affin Hwang Investment Bank juga memberi komen bahawa pengukuhan Ringgit Malaysia adalah refleksi kepada keadaan ekonomi negara yang bertambah baik, katanya.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan juga berkata, dia bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak yang membuat keputusan tegas untuk tidak menambat matawang negara seperti mana yang pernah dilakukan pada tahun 1998/1999.

“Saya percaya, tindakan untuk menambat matawang memperlihatkan kelemahan negara dalam bertindak secara tuntas terhadap memperbaiki ekonomi negara berikutan krisis penurunan harga minyak pada tahun 2015.

“Sekiranya penambatan matawang dilakukan, pelabur dan pasaran global akan hilang keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan kebanyakan projek mega yang dirancang oleh Kerajaan tidak mampu untuk dilaksanakan.

“Perdana Menteri juga telah memaklumkan di dalam Mesyuarat MT UMNO yang terkini bahawa selain ringgit yang mengukuh, kadar pertumbuhan KDNK juga tinggi, Bursa Saham berada di paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun, kadar inflasi yang rendah dan terkawal serta kadar pengangguran di sekitar empat peratus, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kesemua indikator berkenaan adalah bukti kepada kejayaan dasar-dasar yang dijalankan Kerajaan BN yang hasilnya dapat dinikmati pada hari ini.

“Ini sekaligus mewujudkan suasana keyakinan perniagaan dan pengguna yang lebih tinggi mengikut laporan yang telah dibentangkan sebelum ini.

“Bank Dunia juga memberi laporan bahawa ekonomi Malaysia berkembang daripada kedudukan kukuh dan menjangkakan pertumbuhan sihat bagi tahun 2018.

“Saya bersama-sama rakan kepimpinan Kerajaan B N yang lain menyahut seruan Perdana Menteri untuk menjadikan 2018 sebagai tahun kejayaan dan keberhasilan mengagumkan.

“Ini adalah komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi barisan kepimpinan Kerajaan BN untuk memastikan negara Malaysia akan terus maju dan menjadi harapan pasti untuk masa depan rakyat dan negara, katanya.

Leave a Reply