Kesiapsiagaan Jentera Parti Berdepan PRU-14 Berada Pada Tahap Tinggi – Najib

Kesiapsiagaan Jentera Parti Berdepan PRU-14 Berada Pada Tahap Tinggi – Najib

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berpuas hati dengan kesiapsiagaan parti untuk menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) akan datang yang disifatkan positif di semua peringkat.

Beliau menegaskan kerja-kerja parti berjalan lancar dan berharap kesungguhan berkenaan diteruskan sehingga waktu parlimen dibubarkan nanti.

“Saya berpuas hati berdasarkan laporan jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga laporan daripada Wanita, Pemuda dan Puteri yang mana tahap kesiapsiagaan UMNO berada ditahap tinggi.

“Umumnya kita berpuas hati dengan keadaan UMNO serta Barisan Nasional (BN) dan tentu sekali kalau berbanding dengan pembangkang apa yang berlaku sehari dua ini menunjukkan mereka ini rapuh secara dalaman parti.

“Dan ini tidak sepatutnya memberi keyakinan kepada rakyat atas kewibawaaan mereka untuk menjamin kestabilan politik negara serta jauh daripada segi kemampuan mereka untuk melaksanakan agenda yang akan membawa kepada tranformasi yang besar kepada negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn.

Mengenai tarikh PRU 14 pula Najib berkata beliau masih menunggu ‘ilham’ untuk mendapatkan tarikh yang paling sesuai.

“Saya menantikan satu bentuk petunjuk, seperti apa yang orang Melayu katakan sebagai ilham untuk memikirkan masa yang paling sesuai buat kita.

”…menurut Perlembagaan (pilihan raya perlu diadakan) sebelum Jun. Sekiranya kita tidak mengadakannya pada Jun, Parlimen akan dibubarkan secara automatik.

“Tengoklah (sama ada) kita tunggu sehingga Jun atau kita adakan lebih awal… kita tengok perkembangannya nanti,” ujarnya.

Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi BN seterusnya menambah Majlis Tertinggi turut mengambil maklum berkenaan suasana ekonomi negara.

“Pengukuhan ringgit, kadar pertumbuhan yang tinggi, bursa saham yang berada di paras tertinggi dalam waktu tiga tahun, kadar inflasi yang rendah dan juga kadar pengangguran dalam sekitar empat peratus menunjukkan bahawa dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan telah membuahkan hasil yang menggalakkan.

“Dan ini mewujudkan suasana ‘business’ dan ‘consumer confident’ yang lebih tinggi berdasarkan laporan yang telah di siarkan di dalam akhbar apda hari ini,” ujarnya.

Menjawab soalan berhubung langkah kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khas sempena PRU-14, Najib menegaskan pihaknya memang komited dalam soal berkenaan.

“Kita hantar senarai calon-calon kita kepada SPRM dan kita memang komited untuk menentukan bahawa sistem pilihan raya kita ini bersih dan adil. Kita dah komited. malah semua jabatan dan kementerian serta agensi dah buat,“ katanya. –UMNOOnline

Leave a Reply