JCorp Wi-Fi Bakal Bawa Limpahan Ekonomi Untuk Rakyat Johor

JCorp Wi-Fi Bakal Bawa Limpahan Ekonomi Untuk Rakyat Johor

JOHOR BAHRU, 28 Jan — Kemudahan perkhidmatan Wi-Fi percuma yang bakal dinikmati rakyat di negeri ini secara keseluruhannya mulai Februari, dijangka turut membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Johor Corporation (Johor Corp) berkata kemudahan tersebut bukan sahaja tersedia untuk masyarakat di bandar tetapi turut melibatkan beberapa kawasan terpilih di luar bandar.

“Hanya dengan jaringan Internet yang stabil dan meluas seperti ini, kawasan luar bandar akan dapat menerima pelbagai limpahan ekonomi dari bandar dan sebaliknya,” kata beliau sebelum melancarkan JCorp Wi-Fi dan aplikasi E-Hailing di Larkin Sentral, di sini hari ini.

JCorp Wi-Fi merupakan satu daripada titik sentuhan Bajet Johor 2018 yang diusahakan oleh Johor Corp dengan kerjasama rakan strategiknya Telekom Malaysia Bhd.

Menerusi JCorp Wi-Fi ini, lebih 800 hotspot dibangunkan di seluruh Johor mulai November tahun lepas dan dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

Sementara itu, aplikasi E-Hailing yang dinamakan ‘TEKSICoop’ itu akan menjadi platform yang memudahkan pemesanan dan panggilan pengangkutan awam teksi di Johor selain dijangka memberi saingan kepada aplikasi-aplikasi sedia ada seperti Uber dan Grab.

“Para pemandu sendiri mestilah juga berusaha untuk memastikan yang perkhidmatan yang mereka tawarkan kepada para pengguna sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik,” kata beliau.

Aspek harga, ketetapan masa, budi bahasa, pemanduan berhemah, sikap yang disenangi dan disegani, perlu diberi perhatian oleh pemandu teksi memandangkan aspek-aspek itu adalah antara perkara yang diperhatikan oleh masyarakat, katanya.

Leave a Reply