Keusahawanan Di Johor Progresif, Inovatif Dan Agresif @KhaledNordin

Keusahawanan Di Johor Progresif, Inovatif Dan Agresif @KhaledNordin

JOHOR BAHRU, 27 Jan – Negeri Johor adalah antara negeri yang mempunyai agenda keusahawanan yang bukan saja lengkap, malah lebih progresif, inovatif dan agresif.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sehubungan itu keusahawanan akan terus menjadi aspek penting kepada Johor bukan saja untuk masa sekarang tetapi juga di masa hadapan.

“Kerajaan negeri juga melihat keusahawanan itu adalah satu aspek yang sangat penting kepada negeri Johor dan atas sebab sebab itulah, dalam Bajet Negeri Johor sejak empat tahun lalu sehingga tahun ini, keusahawanan adalah perkara yang terus menjadi fokus dan agenda besar negeri ini.

“Kita sudah merancang dan memperuntukkan dana yang besar kepada bidang keusahawanan dan kerajaan negeri sudah rancak menjayakan pelbagai pembinaan infrastruktur, inkubator dan kemudahan perniagaan yang bersesuaian.

“Ianya merangkumi usaha pencarian bakat, latihan berfokus dan program perintis yang menarik serta pelbagai di seluruh Johor,” katanya.

Mohamed Khaled turut mengingatkan usahawan mengembangkan bidang berkenaan untuk membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

“Jadikan keusahawanan sebagai satu lapangan untuk kalian terus meneroka ruang dan cabaran baharu dengan berani dan strategik,” katanya.

Beliau berkata, usahawan Johor juga perlu mengguna dan memanfaatkan teknologi semasa dengan sebaiknya.

“Sekarang ini zaman teknologi, zaman aplikasi dan zaman automasi serta biar apa pun produk dan perkhidmatan yang diniagakan, kita sudah tidak boleh lari dari teknologi semasa.

“Kehadiran teknologi dalam keadaan tertentu menjadi ancaman kepada sesetengah produk dan perkhidmatan diniagakan kerana ia membawa solusi dan tawaran baharu kepada masyarakat lebih baik,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong dan memberi galakan yang selayaknya untuk semua usahawan Johor dengan memberikan perhatian dan sokongan.

“Kita tidak mahu menjadi kerajaan negeri yang hanya suka mengumumkan insentif dan inisiatif, sebaliknya bersedia mendengar pandangan dan idea-idea baharu,” katanya ketika Majlis Anugerah Keusahawanan Johor 2017 di Hotel Holiday Villa di sini, semalam

Leave a Reply