SAKJ Jadi Wadah Penting Pendidikan Agama Islam Di Negeri Johor – @KhaledNordin

SAKJ Jadi Wadah Penting Pendidikan Agama Islam Di Negeri Johor – @KhaledNordin

TANGKAK, 23 Jan – Kerajaan Johor akan terus memperluaskan dan meningkatkan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) kerana ianya merupakan wadah penting dalam memberi pendidikan agama Islam kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sumbangan SAKJ memberi sumbangan terbesar kepada masyarakat Islam di negeri Johor dan ianya merupakan sifat keserderhanaan serta turut berperanan sebagai faktor pengimbang.

“Tidak dapat dibayangkan jika umat Islam tidak mempunyai didikan agama, pendidikan agama Islam yang tidak sempurna atau mendapat didikan agama daripada sumber yang tidak disediakan secara berstruktur, katanya ketika sidang media Majlis Pecah Tanah Projek SAKJ Fasal 5 Kampung Sagil, Puteri Ledang dan Bekoh Belading di Dewan Kampung Sagil Parit 3 di sini, semalam.

Menurut beliau, di Johor apabila berjaya tidak mahu di nilai berdasarkan kepada pembangunan ekonomi sahaja tetapi pada masa sama dapat melahirkan rakyat dan masyarakat yang baik.

“SAKJ akan menyokong usaha kita supaya Johor ini tetap Islami yang mana Islami itu merujuk kepada pelaksanaan prinsip atau ajaran Islam yang boleh diterapkan dalam pembangunan dan kemajuan.

“Contohnya bagaimana untuk membantu orang miskin dan susah, jadi kita menggunakan instrumen agama daripada segi pemberian zakat. Kemudian bagaimana mahu mengembangkan kedudukan ekonomi orang Melayu Islam di Johor serta kita sudah guna pelbagai cara dan satu cara kita tak pernah guna iaitu wakaf.

“Jadi, konsep Johor Islamik adalah bukan untuk tekankan peraturan undang-undang dan ianya lebih kepada nilai, pendekatan yang boleh datangkan kemajuan dan pembangunan serta membantu menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang liberal yang mengatakan Islam tidak membantu membawa kemajuan kepada sesebuah negara.

“Jadi saya sangkal apa yang setengah pihak liberal yang kata Islam tidak membantu membawa kemajuan atau Islam membantut kemajuan dan sebagainya seperti yang di nyatakan oleh Marina Mahathir.

“Johor akan terus hormati hak beragama, soal kebebasan beragama, soal penerimaan kita kepada kaum lain sebagai sebahagian daripada bangsa Johor. Itu tidak akan menjadi masalah dan tiada apa yang berubah,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat.

Leave a Reply