6 Insentif Khas Kepada Semua Ketua Kampung Di Seluruh Johor – @KhaledNordin

6 Insentif Khas Kepada Semua Ketua Kampung Di Seluruh Johor – @KhaledNordin

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan enam insentif khas kepada ketua-ketua kampung di seluruh negeri ini terutamanya yang membabitkan kebajikan golongan terbabit.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata insentif pertama membabitkan jumlah ganjaran bagi ketua kampung yang bersara, tamat perkhidmatan atau meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan dinaikkan 100 peratus.

“Ia dinaikkan daripada RM25 kepada RM50 dan dikalikan dengan genap bulan perkhidmatan serta bayaran insentif minimum bagi insentif juga dinaikkan sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM500 kepada RM1,000 yang terhad sepanjang tempoh perkhidmatan sehingga umur 65 tahun saja.

“Perkara kedua ialah kerajaan negeri juga telah mengambil keputusan bahawa bayaran elaun tambahan sebanyak RM200 sebulan kepada ketua-ketua kampung yang dibayar mulai tahun 2015 akan dikekalkan, katanya.

Menurut beliau, bayaran ganjaran perkhidmatan kepada ketua-ketua kampung yang dihentikan mulai 1 Januari 2015 perlu dibayar semula beserta tunggakannya.

“Kebajikan ketiga ialah berkaitan bayaran elaun bulanan serta ganjaran tamat perkhidmatan perlu digenapkan bulannya serta insentif keempat adalah kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan khas hari raya kepada semua ketua kampung sebanyak RM300.

“Selain itu insentif kelima adalah kerajaan negeri menetapkan kuota haji untuk ketua-ketua kampung ditambah pada tahun depan dari lapan orang kepada 10 orang.

“Insentif keenam adalah kerajaan negeri bersetuju bahawa had umur maksimum ketua kampung dilanjutkan dari 65 tahun ke 70 tahun,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Menteri Besar Johor Bersama Ketua Kampung Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA) di Johor Bahru, semalam.

Mohamed Khaled berkata, semua insentif dan peruntukan berkenaan adalah khusus dan memberi manfaat secara langsung kepada ketua-ketua kampung di seluruh Johor.

“Ianya dilaksanakan dengan kesedaran bahawa pemimpin di peringkat tempatan dan akar umbi seperti ketua kampung adalah struktur penting kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Jadi harapan saya serta harapan seluruh anggota masyarakat yang kita wakili dan pimpin, pastilah mereka mengharapkan selepas ini ketua kampung di johor akan memberikan khidmat terbaik,” katanya.

Leave a Reply