Muhyiddin Tidak Mengaku Pun Orang Tahu Dia Sekadar Jadi ‘Kuli’ Mahathir

Muhyiddin Tidak Mengaku Pun Orang Tahu Dia Sekadar Jadi ‘Kuli’ Mahathir

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebenarnya sudah pun menjadi ‘kuli’ kepada Tun Mahathir (Tun M) dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhyiddin di dalam satu ceramahnya yang berkata “saya sedia jadi kuli.”

“Sebenarnya dia sudah pun menjadi kuli. Ibarat orang yang makan cili, maka dialah yang terasa pedasnya.

“Dan memang akan terus dikulikan oleh Tun M dan yang lain-lain,” ujar Puad lagi.

Sinisnya lagi, jelas kelihatan kini Muhyiddin walaupun berjawatan presiden parti tetapi di dalam ‘arus perdana’ pakatan pembangkang namanya terpinggir.

“Jangankan PM (perdana menteri) sementara, timbalan perdana menteri sementara pun tidak tersenarai.

“Semasa dalam UMNO dia dijanjikan jawatan PM kalau konspirasi mereka berjaya. Konspirasi itu meyakinkan kerana kononnya kertas pertuduhan telah siap sedia,” kata Puad dalam catatan terbaharu di laman facebooknya.

Jelas Puad lagi, semasa di Milan Itali, Muhyiddin menunggu tindakan selanjutnya mengenai isu 1MDB yang dipolemikkan oleh beliau dan Tun M serta semua pihak ternanti-nanti sidang media beliau.

“Tetapi Muhyiddin tidak berani mengisytiharkan supaya Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) meletak jawatan atau membuat peralihan kuasa seperti yang beliau lakukan terhadap Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

“Di situlah konspirasi dalaman mereka mula runtuh. Balik Malaysia, Muhyiddin menjadi defensif dan terpaksa keluar parti kerana mengikut skrip Tun M.

“Dan kini Muhyiddin seperti dicucuk hidung. Ikut sahaja kemahuan Tun M. Sebab itu bila dia kata dia kuli, ia mesti datang dari hatinya sendiri yang terasa sudah dikulikan,” kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu.

Dalam pada itu, Puad juga mencabar Muhyiddin kekal bertanding di Pagoh sekiranya beliau anak jantan.

“Kini Muhyiddin tersepit. Semua kajian termasuk oleh Merdeka Centre melaporkan dia akan kalah di Pagoh.

“Perlukah dia mencari tempat selamat di luar Pagoh? Sebagai anak jantan dia perlu kekal bertanding di Pagoh,” katanya.

Apa yang berlaku kepada Muhyiddin sebagai Presiden PPBM adalah gambaran sebenar bahawa Tun M berkeupayaan untuk kembali menjadi diktator dan ia adalah bebanan baru kepada Pakatan Harapan, jelasnya. –UMNOOnline.

Leave a Reply