iPayment Kiosk Mudahkan Urusan Bayar Cukai

iPayment Kiosk Mudahkan Urusan Bayar Cukai

KULAI, 17 Jan. – Kerajaan Johor menyarankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menyediakan kios perkhidmatan dalam talian, iPayment Kiosk bagi memudahkan urusan pembayaran cukai, seiring dengan aspirasi ke arah kerajaan digital.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menjadi PBT pertama yang mengadakan tindakan seumpama bagi memudahkan pengguna dan tanpa perlu beratur di kaunter pembayaran.

“Kita (kerajaan negeri) mencadangkan untuk semua PBT melaksanakan inisiatif ini. Seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2018 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke arah mencapai kerajaan digital.

“Dalam konteks kerajaan hari ini, sudah masuk sistem kehidupan sama ada dalam pengurusan kerajaan atau kehidupan manusia itu sendiri yang menghala ke arah digital. Usaha ini adalah sebahagian daripada pendigitalan menerusi peringkat pengusaha tempatan.

“Zamannya dah sampai, kita lihat terdapat keperluan untuk beralih kepada keadaan semasa dan ini pun antara perkhidmatan yang kita boleh baiki.

“Sebab fungsi PBT ada dua iaitu penguatkuasaan terhadap undang-undang dan menyampaikan perkhidmatan kepada mereka yang membayar cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan E-Kiosk Bayaran MPKu di kaunter pelbagai MPKu, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Yang Dipertua MPKu, Farizal Ismail.

Jais berkata, pihaknya turut menggalakkan untuk mewujudkan kiosk seumpama di tempat awam, selain daripada bangunan PBT kerana lokasi tumpuan awam boleh mempercepatkan urusan dan boleh dilakukan walaupun luar waktu pejabat.

INFO
iPayment kiosk

– Bayaran secara tunai, kad atau cek yang membolehkan lima bil dijalankan dalam satu transaksi
– Bayaran cukai taksiran, kompaun, sewaan, tempahan dan lesen
– Hanya mengambil masa 60 saat bagi urusan lima bil, berbanding perkhidmatan kaunter yang mengambil masa satu minit bagi satu bil
– Perkhidmatan 24 jam
– Pengurangan kos khidmat kaunter bayaran, kos operasi dan ruang kerja
– Migrasi tenaga kerja untuk tugasan lebih produktif-

 

JAUHAR

Leave a Reply