Jalan Utama JB-Mersing Ditutup Ekoran Tanah Mendap

Jalan Utama JB-Mersing Ditutup Ekoran Tanah Mendap

JOHOR BAHRU, 15 Jan  — Jalan utama menghubungkan Johor Bahru-Kuantan dekat sini ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan berikutan tanah mendap di KM16, berdekatan Institut Latihan Perindustrian Mersing.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata tanah mendap seluas 70 meter dan sedalam 15 meter itu berlaku kira-kira 2.30 pagi ini dan hampir meragut nyawa pemandu kereta, seorang warga emas lelaki dan beberapa penumpangnya yang melalui jalan berkenaan.

“Sewaktu kejadian, kereta itu terjatuh ke dalam gaung tanah mendap berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa  berusia 60 tahun dan penumpangnya yang lain tidak mengalami kecederaan serius dan telah dirujuk ke Hospital Mersing untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, orang ramai yang ingin ke Mersing atau Kuantan atau dari Mersing hendak ke Johor Bahru dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Nitar-Jemaluang.

Sementara itu, JKR Mersing dalam kenyataan berkata kerja-kerja pemasangan tanda amaran telah dilakukan di lokasi kejadian bagi mengelakkan orang ramai daripada menggunakan jalan terbabit.

“Pasukan bertindak juga sentiasa memantau  keadaan di tapak dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar memandu mengikut laluan alternatif dan berhati-hati,” kata kenyataan itu.

Leave a Reply