B5 Johor Street Market Satu Tarikan Baru Di Johor – @KhaledNordin

JOHOR BAHRU, 13 Jan – B5 Johor Street Market akan menjadi satu daya tarikan baru di Johor dengan wujudnya sebuah kawasan pembangunan pusat komersial perlancongan setempat di Pekan Tampoi yang dijangka siap pada tahun 2019.

Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangunan di atas tanah seluas 5.861 ekar berkenaan akan menyaksikan satu lagi mercu yang bakal berubah landskap dan wajah Pekan Tampoi yang dahulu kawasan berkenaan dikenali sebagai Pekan Batu 5.

“Kos sebanyak RM80.47 juta itu akan menyediakan lebih 168 ruang niaga kepada usahawan termasuk Bumiputera di samping mampu mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Impak B5 Johor Street Market itu akan dinikmati peniaga sedia ada di Pekan Tampoi menerusi peningkatan jumlah pengunjung dan pembinaan infrastruktur baharu, katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran B5 Johor Street Market, hari ini.

Menurut beliau, perkara berkenaan sekali gus membidas dakwaan kononnya agenda pembangunan Johor hanya mementingkan projek-projek mega sahaja.

“Pada masa yang sama ia menjadi fokus serta aspirasi kerajaan negeri dan saya sendiri secara peribadi untuk melihat lebih ramai masyarakat Johor berniaga khususnya peniaga Bumiputera.

“Orang Johor memang suka meniaga dan pandai meniaga, maka kerajaan negeri akan terus menyokong dan membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka terus berniaga dan menjadikan perniagaan sebagai satu identiti besar negeri Johor, katanya.

Mohamed Khaled berkata, B5 Johor Street Market akan mempunyai lima elemen utama seperti retail bazaar, box park, food truck, makanan dan minuman serta hab untuk persembahan seni dan kebudayaan Johor.

“Dengan gabungan lima elemen berkenaan, ianya mensasarkan untuk menarik lebih ramai pengusaha produk pelancongan tempatan, penggiat seni, golongan muda dan pengusaha makanan untuk bergabung di bawah satu bumbung bagi menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.

Leave a Reply