Blueprint Agenda Pendidikan Tidak Dilaksanakan Secara Bermusim – @HishammuddinH2O

Blueprint Agenda Pendidikan Tidak Dilaksanakan Secara Bermusim – @HishammuddinH2O

Oleh Iskandar Ahmad

KLUANG, 11 Jan – Blueprint Agenda Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan agenda bermusim sebaliknya pelaksanaannya dilihat sebagai agenda pembelaan kepada anak-anak anggota tentera termasuk veteran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata paling bermakna pelancarannya adalah cukup bersejarah dan dibentangkan secara telus bagi memenuhi janji dan komitmen kerajaan kepada pasukan berkenaan.

“Ia cukup bersejarah kerana apa yang kita bentang secara telus dan ianya bukan bermusim, malah ini janji, ikrar dan komitmen kita kepada anggota ATM dan keluarga mereka dan mereka boleh berpegang dengan janji berkenaan kerana ianya sudah membuktikan selama ini ianya telah dilaksanakan,” katanya.

Menurut beliau, agenda pendidikan berkenaan akan diperluaskan ke seluruh negara termasuk Kedah dan Sabah, malah ianya sangat penting kerana ianya adalah pembelaan kepada anak-anak anggota tentera.

“Agenda berkenaan akan dilaksanakan dengan tidak tidak berbelah bahagi untuk setiap veteran dan anggota keseluruhannya serta ianya sudah dirancang pada tahun lalu dan sudah dilancarkan untuk memanfaatkan semua pihak yang berkepentingan.

“Bagi pihak ATM dan MINDEF, kehadiran dua menteri menunjukkan bukan secara peribadi tetapi kesanggupan mereka bekerja rapat untuk menjayakan agenda dan fokus dalam membela anak-anak warga ATM, MINDEF dan veteran.

“Ini menunjukan bahawa MINDEF kini berada di atas landasan yang betul dan itu belum lagi menyentuh mengenai agenda kos sara hidup, kesihatan dan perubatan,” katanya ketika sidang media selepas merlancarkan Blueprint Agenda Pendidikan Hala Tuju MINDEF 2018-2022 di Padang Kawad Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja Kluang Johor, hari ini.

Hishamuddin berkata, pihak MINDEF dan ATM akan terus komited bagi memastikan agenda membela nasib dan kebajikan warga ATM, veteran ATM, warga awam kementerian itu serta ahli keluarga diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, pada hari ini, saya meneruskan program turun padang di bawah insiatif Jelajah Perkasa Perwira sekaligus melancarkan Blueprint Pendidikan Kementerian Pertahanan.

“Blueprint ini sudah mula dirangka sejak awal tahun lalu dan salah satu inisiatif utama digerakkan di bawah Teras Kebajikan Kementerian Pertahanan serta dikelolakan oleh Task Force Pendidikan,” katanya.

Tambah beliau, blueprint yang dirangka akan membabitkan tiga objektif utama iaitu memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada warga ATM, meningkatkan perkhidmatan pendidikan dan menaiktaraf kemudahan prasarana pendidikan.

“Empat tunjang utama digariskan dan perlu diberi tumpuan sepanjang tempoh lima tahun iaitu memfokuskan kepada pembangunan infra pendidikan di semua 38 buah sekolah dalam kem ATM di seluruh negara.

“Memperkasa institusi pendidikan yang unggul, memperjuangkan inisiatif kebajikan pendidikan dan mengiktiraf dan menghargai warga ATM, veteran ATN serta warga awam kementerian itu,” katanya.

Majlis pelancaran blueprint menerusi Strategi Launtan Biru Kebangsaan (NBOS) itu membabitkan empat kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Leave a Reply