Kebajikan Golongan Mualaf Di Johor Terus Dibela @KhaledNordin

Kebajikan Golongan Mualaf Di Johor Terus Dibela @KhaledNordin

 

Oleh Iskandar Ahmad.

JOHOR BAHRU, 6 Dis – Kebajikan golongan mualaf di negeri Johor terus diutamakan dibela seperti mana yang telah diumumkan ketika Bajet 2018 dibentangkan pada bulan lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada tahun 2018, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta dana kepada Skim Bantuan Bulanan Mualaf Negeri Johor.

“Skim ini akan memanfaatkan 3 kategori penerima yang terdiri daripada 1 ribu orang mualaf yang masih dalam tempoh 2 tahun pertama pengislamannya.

“Jumlah bantuan bulanan yang telah kita persetujui akan diberikan mengikut kategori serta status seseorang mualaf iaitu RM200 kepada mualaf yang berstatus bujang, RM300 kepada mualaf yang merupakan ketua keluarga dengan tanggungan sehingga 5 orang serta dan RM400 kepada mualaf yang merupakan ketua keluarga dengan tanggungan melebihi 5 orang, katanya.

Menurut beliau, melalui pengenalan skim khas ini, ia menjadikan negeri Johor sebagai negeri yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 skim bantuan khusus dalam membela kebajikan mualaf.

“Sepanjang tempoh 5 tahun ini, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah memperuntukkan hampir RM84 juta dengan purata tahunan RM18 juta setahun kepada golongan mualaf.

“Jadi, inisiatif yang diumumkan pada hari ini sebenarnya satu lanjutan dan penambahbaikan kepada pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan selama ini, katanya ketika berucap di Majlis Himpunan Muafakat Saudara Kita Peringkat Negeri Johor 2018, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya mengajak golongan mualaf di Johor untuk bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri Johor dengan sentiasalah membantu kepimpinan kerajaan negeri demi menjadikan Johor dan masyarakatnya dalam kalangan yang terbaik.

“Marilah kita bersama-sama berusaha untuk menyumbang kepada perkembangan agama Islam dan negeri Johor dengan cara, kapasiti dan pemahaman kita.

“Saya berharap saudara-saudara baru kita dari golongan mualaf akan senantiasa bertabah dalam menempuh kehidupan sebagai seorang Muslim, katanya.

Leave a Reply