Tun Mahathir Jangan Biadap

Tun Mahathir Jangan Biadap

 

JOHOR BAHRU, 5 Jan – Majlis Penyelaras Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Negeri Johor (GABUNG) menyifatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai biadap apabila mengaitkan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail dalam isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Muhammad Salleh Abbas.

Naib Presiden dan Ketua Penerangan GABUNG, Abdullah Mohd Yusof berkata, kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa pemecatan Muhammad Salleh itu dibuat atas arahan Almarhum Sultan Iskandar yang juga Yang Dipertuan Agung ketika itu sebagai tidak menghormati Institusi Kesultanan Johor.

“GABUNG membidas sekeras-kerasnya dengan kenyataan Tun Mahathir yang sanggup mengaitkan Almarhum Sultan Iskandar yang telah mangkat pada 2010 dan ianya tidak adil bagi Almarhum Tuanku kerana tidak boleh menjawab atau mempertahankan diri atas tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

“Sekiranya dakwaan itu benar, kenapa beliau tidak mengeluarkan kenyataan ini ketika dia masih memerintah negara lagi serta mengapa perlu mengambil masa yang lama untuk membersihkan namanya dalam isu pemecatan ini,” katanya ketika sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Abdullah berkata, ini adalah hasutan untuk menakut-nakutkan rakyat dan mahu melihat kegagalan kerajaan yang ada sekarang dan agenda Tun Mahathir berkenaan boleh merosakkan negara.

Pada masa sama, Abdullah turut menyelar tindakan Dr Mahathir yang seperti kehabisan idea dan bertujuaan untuk menakut-nakutkan rakyat dengan fakta yang telah diputar belitkan oleh mantan perdana menteri itu dan ianya hanya lah bertujuan untuk memenuhi motif politiknya sahaja.

Leave a Reply