Mangsa Banjir Di Johor Menurun Kepada 254 Orang Malam Tadi

Mangsa Banjir Di Johor Menurun Kepada 254 Orang Malam Tadi

JOHOR BAHRU, 5 Jan — Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 254 orang setakat 9 malam tadi berbanding 395 orang petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata penurunan itu disebabkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kluang dan Mersing telah ditutup.

“Tiga PPS yang telah ditutup ialah Dewan Raya Kampung Parit Hassan di Kluang, Sekolah Kebangsaan Tenglu dan Balairaya Serbaguna Kampung Benaung di Mersing,” kata beliau dalam kenyataan di sini malam tadi.

Setakat ini, lima PPS masih dibuka dengan empat di daerah Mersing dan satu di Segamat.

Menurut Ayub, sebanyak 239 mangsa banjir daripada 70 keluarga ditempatkan di empat PPS di Mersing dengan Sekolah Agama Pengkalan Batu menempatkan paling ramai mangsa banjir ketika ini iaitu 131 orang daripada 35 keluarga.

“Di Mersing, kawasan yang masih terjejas banjir ialah Kampung Kelantan, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Tawar, Kampung Jemari, Kampung Air Merah dan Kampung Pengkalan,” kata Ayub.

Leave a Reply