Belia Perlu Bijak Urus Media Sosial – Adham

Belia Perlu Bijak Urus Media Sosial – Adham

KOTA TINGGI 4 Jan. – Generasi muda Felda harus bijak menguruskan tiga perkara penting terutamanya rangkaian media sosial supaya mereka dapat menjadi penambat terhadap segala tohmahan yang cuba menjatuhkan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, rangkaian media sosial adalah perkara penting yang perlu diurus dengan bijak kerana kini menjadi medan maklumat serta berita tidak benar datang daripada platform tersebut.

Selain itu, golongan belia juga mesti pandai menguruskan diri sebelum bijak menguruskan rangkaian pasukan seperti penubuhan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).

“Jika golongan belia Felda pandai menguruskan tiga perkara ini, termasuk rangkaian media sosial, kita percaya masyarakat Felda dapat pertahankan negara daripada fitnah yang datang.

“Ini kerana buktinya di Tenggara sahaja, kita mempunyai 45,000 pengundi dengan 14,000 pengundi adalah datang dari kawasan Felda. Rangkaian inilah yang dapat jadi pertahanan sekiranya Felda dapat ditembusi orang yang tidak bertanggungjawab memusnahkan ideologi dan segala bentuk yang ada dalam Felda,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MBFM Wilayah Johor Bahru Ke-8 di Hotel Mayres, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hasan; Pengerusi Majlis Belia Felda Johor, Manndzri Nasib dan Pengerusi MBFM Wilayah Johor Bahru, Mahadir Tahar.

Adham berkata, kehadiran ahli MBFM ke mesyuarat itu juga merupakan satu langkah baik dalam membina rangkaian perhubungan sesama mereka yang amat diperlukan pada zaman moden ini.

“Sebab itulah mengurus rangkaian media sosial adalah sangat penting, sama penting juga dengan mengurus pasukan serta mengurus diri sendiri dalam keadaan kita berdepan dengan dunia yang penuh mencabar kini,” katanya. –Utusan

Leave a Reply