Tun Mahathir Dinasihat Berhenti Main Politik Kotor Perlu Putar Belit Pelaburan Di Forest City

Tun Mahathir Dinasihat Berhenti Main Politik Kotor Perlu Putar Belit Pelaburan Di Forest City

JOHOR BAHRU, 4 Jan – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dinasihatkan janganlah memutar belitkan kenyataan terhadap pelaburan China di Johor termasuk yang terkini, di mesyuarat agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Sabtu lalu yang mendakwa berlaku penjualan tanah kepada orang asing di Forest City dan hasilnya digunakan untuk membayar hutang.

Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani menyifatkan kenyataan tersebut sekadar desakan kotor politik pembangkang dalam menakut-nakutkan rakyat Johor untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN sedia ada, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) akan diadakan tidak lama lagi.

“Jadi, kita perlu matang dan jangan terpengaruh dengan kritikan tersebut, kerana kerajaan negeri pimpinan Mohamed Khaled akan terus fokus kepada pembangunan seimbang di negeri ini, dengan tidak menjual ‘maruah dan kepentingan kepada mana-mana pihak”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Projek Forest City jelas beliau sebagaimana yang diomong-omongkan Tun Mahathir itu sekadar merancakkan pertumbuhan negeri ini memandangkan Johor tidak mempunyai hasil daripada sumber asli penting dan berharga berbanding negeri lain seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Kita bukan takut dengan kritikan tersebut, namun sekiranya perkara ini tidak diperbetulkan, ia boleh menyebabkan pelabur asing tidak mahu melabur di negara kita.

“Justeru itu, kami membidas sekeras-kerasnya sikap Dr Mahathir yang oportunis mengenai pelaburan dari negara China di kawasan Forest City,” ujarnya mengulas mengenai kritikan Tun Dr Mahathir terhadap Forest City baru-baru ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu semasa berucap pada perhimpunan agung pertama parti itu di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini mendakwa Forest City merupakan satu lagi penjualan tanah kepada orang asing yang hasilnya digunakan untuk membayar hutang negara.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kritikan terbaharu Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Forest City bukan sahaja sekadar mahu mencari publisiti malah tidak faham dengan kewujudan Forest City yang merupakan usaha kerajaan negeri dalam menjana pertumbuhan ekonominya.

Mohamed Khaled berkata, sekiranya Johor tidak dibangunkan potensi serta peluang sedia ada, pertumbuhan ekonomi akan lembab dan kerajaan negeri tidak dapat memajukan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Mahathir yang memberikan perhatian dan fokus terhadap Forest City yang dibangunkan atas tanah seluas 0.01 peratus daripada keluasan negeri ini.

“Johor kena fikir bagaimana cara nak bangun sendiri. Jadi dengan kritikan Dr. Mahathir terhadap Forest City, dia tidak membantu.

“Saya dah beritahu banyak kali, Forest City itu hanya merupakan 0.01 peratus daripada negeri Johor,” katanya dan berharap rakyat tidak terpengaruh dengan kritikan tersebut. UMNOOnline

Leave a Reply