`Projek Forest City – Salahuddin Tak Faham’ – Khaled

`Projek Forest City – Salahuddin Tak Faham’ – Khaled

MUAR, 4 Jan- Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini membidas dakwaan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub dan menyifatkan Salahuddin tidak faham dengan apa yang beliau perkatakan.

Tambahnya, projek pembangunan hartanah Forest City tidak menggadaikan tanah Johor seperti didakwa pembangkang serta menegaskan bahawa projek pembangunan itu sama seperti projek pembangunan hartanah milik syarikat negara ini di luar negara.

“Dia (Salahuddin) tak faham ke apa yang saya kata. Saya kata mengapa fokus kepada benda 0.01 peratus (dari keseluruhan tanah di Johor) itu sahaja dan soal saya kenapa fokus (projek itu sahaja). Ada banyak benda yang kita boleh beri tumpuan dan seperti yang saya katakan ialah betapa pentingnya untuk bangunkan dan majukan negeri Johor. Kita apabila melaksanakan pembangunan hartanah seperti itu (Forest City), ia sama juga dengan (pembangunan hartanah) di negara lain.

“Macam penglibatan Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) di Singapura. Tak ada pula (orang) Singapura kata dia (kerajaan Singapura) mengadaikan tanah dan sebagainya,” ujarnya mengulas dakwaan Salahuddin Ayub yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan semalam.

Tambahnya, Salahuddin sepatutnya memberitahu perancangan yang akan mereka laksanakan sekiranya berjaya menjadi kerajaan kelak.

“Dia nak stop (hentikan projek Forest City)… jangan cakap sahaja. Dia boleh beritahu pelabur yang dia tak alu-alukan pelabur. Beritahulah, saya tak berhasrat hendak berterusan dengan dia kerana saya banyak lagi agenda (membangunkan dan memajukan Johor) lain yang saya hendak buat” katanya.

Terdahulu, Salahuddin Ayub mendakwa hujah simplistik Menteri Besar Johor yang mengatakan bukan masalah besar tanah Johor digadaikan kepada orang luar atas alasan kerana ianya hanya membabitkan 0.01 peratus sahaja daripada keluasan tanah di Johor dianggap tidak patriotik dan tidak cintakan negara.

Leave a Reply