Mangsa Banjir Di Kluang, Mersing Berkurangan Tengah Hari ini

Mangsa Banjir Di Kluang, Mersing Berkurangan Tengah Hari ini

JOHOR BAHRU, 4 Jan — Jumlah mangsa banjir di Mersing dan Kluang sedikit berkurangan kepada 387 orang tengah hari ini berbanding 388 orang dicatatkan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata seramai lapan mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di Dewan Raya Kampung Parit Hassan, Kluang manakala 379 mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing.

“Setakat 12 tengah hari ini, kawasan yang terjejas di Mersing masih melibatkan Kampung Kelantan, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Tawar, Kampung Jemari, Kampung Air Merah dan Kampung Pengkalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ayub berkata dua sekolah dari daerah Kluang dan Segamat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Punan (Kluang) dan SK Mensudut Lama (Segamat) dilaporkan masih tidak beroperasi.

“Seramai 64 murid dari dua buah sekolah berkenaan terjejas selepas laluan ke sekolah itu terputus hubungan akibat banjir sejak 1 Jan lepas,” kata Ayub.

Menurut Jabatan Meteorologi pada pukul 12 tengah hari tadi, amaran cuaca waspada yang dikeluarkan semalam bagi daerah Segamat dan Mersing telah ditamatkan. -Bernama

Leave a Reply