Cuaca Buruk Berterusan, Rakyat Johor Diminta Berwaspada

Cuaca Buruk Berterusan, Rakyat Johor Diminta Berwaspada

JOHOR BAHRU, 2 Jan — Rakyat di Johor diminta berjaga-jaga dan berwaspada terhadap kemungkinan berlaku banjir berikutan cuaca buruk yang berterusan di negeri ini, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata negara ketika ini dilanda musim monsun yang hanya akan berakhir Mac ini.

Pada bila-bila masa sahaja hujan akan turun dengan lebat kerana tiupan angin dan sebagainya.

“Masyarakat perlu prihatin dengan sentiasa mengikuti pemberitahuan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dan juga jabatan yang lain terhadap cuaca buruk yang berterusan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek ‘Public-Private Research Network’ (PPRN) di Politeknik Ibrahim Sultan, di sini hari ini.

Ayub berkata Johor membuat persediaan awal bagi menghadapi banjir sejak Oktober lepas selain simulasi latihan yang dijalankan anggota keselamatan negeri.

Beliau berkata daerah Mersing merupakan antara kawasan yang teruk terjejas akibat hujan lebat terutama di Pulau Aur, Pulau Sibu dan beberapa kawasan pesisir pantai.

“Air naik disebabkan hujan lebat selain berpunca daripada air pasang sejak Ahad lepas di daerah Mersing, namun, buat masa ini keadaan masih lagi terkawal,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, sebuah  mesin dispenser bahan automatik  ciptaan tujuh penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal politeknik berkenaan yang bernilai RM50,000,  diserahkan kepada Syarikat Madina Food Industries.

“Syabas kepada penyelidik yang juga tenaga pengajar kerana berjaya menunjukkan kepada masyarakat bahawa mereka juga berkemahiran, pakar dalam inovasi dan penyelidikan khusus untuk industri dan bukan hanya mendidik pelajar di politeknik ini,” katanya. Bernama

Leave a Reply