379 Orang Kekal Berada Di Pusat Pemindahan Banjir Di Mersing, Kota Tinggi

379 Orang Kekal Berada Di Pusat Pemindahan Banjir Di Mersing, Kota Tinggi

JOHOR BAHRU, 2 Jan — Sejumlah 379 mangsa melibatkan 95 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi kekal berada di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir, petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 4 petang ini, kawasan terjejas di Mersing masih melibatkan Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung Air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Beliau berkata di Kota Tinggi, kawasan terjejas masih melibatkan Kampung Bukit Raja dan Kampung Sungai Buntu.

“Tujuh PPS dibuka di Mersing yang menempatkan 345 orang melibatkan 86 keluarga iaitu Balai  Raya   Taman Nakhoda, Sekolah Kebangsaan Air Papan, Sekolah Kebangsaan Tenglu, Balai Raya  Serbaguna Kampung Benaung, Pertubuhan Peladang Kawasan Endau, Balai Raya Pengkalan Batu dan Balai  Raya  Kampung Air Merah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ayub berkata dua PPS dibuka di Kota Tinggi iaitu Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia dan Surau Sungai Buntu yang menempatkan 34 orang melibatkan sembilan keluarga.

Beliau berkata dilaporkan Mersing  masih lagi mengalami hujan.

Sehubungan itu, pemantauan banjir berterusan pelbagai agensi yang terlibat sedang dilakukan di kedua-dua daerah termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Setakat 4 petang tadi, stesen meteorologi utama di negeri ini merekodkan jumlah hujan di Mersing adalah sebanyak 38 mm, Kluang (2.4 mm) manakala Senai (7.8 mm),” katanya. -Bernama

Leave a Reply