Pakatan Harapan hanya tinggal harapan – Chiong Sen How

Pakatan Harapan hanya tinggal harapan – Chiong Sen How

Saya tertarik untuk memberikan respon kepada video YB Liew Chin Tong mengenai faktor yang akan menyumbang kepada kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-14 yang akan datang.

Video berbahasa Inggeris dan berdurasi hampir 3 minit itu secara angkuh menyatakan terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan kekalahan UMNO/BN iaitu faktor Dato Seri Najib, faktor undi bukan Melayu, dan faktor ekonomi.

Beliau boleh bercakap apa sahaja teori-teori falasi yang ingin beliau kemukakan. Tetapi beliau juga perlu sedar, terdapat juga 3 faktor yang pasti, yang akan membuat Pakatan Harapan hanya tinggal harapan.

  1. FAKTOR MAHATHIR

Pakatan Harapan pada ketika ini begitu ketandusan tokoh kepimpinan sehingga sanggup mencadangkan Dr Mahathir daripada PPBM sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Mana mungkin Dr Mahathir yang mewakili parti terkecil, parti terbaharu, parti yang tidak pernah diuji di mana-mana pilihanraya diberikan mandat sebegitu besar bagi mengetuai Pakatan Harapan.

Tindakan ini secara jelas adalah sangat keterbelakang dan terdesak kerana mempertaruhkan calon yang berusia 92 tahun sebagai orang akan mentadbir negara ini. Jika kita lihat trend negara-negera luar, seperti Justin Trudeau berusia sekitar 40 tahun sebagai Perdana Menteri Kanada dan Emmanuel Macron yang berusia 38 tahun sebagai Presiden Perancis menunjukkan kemahuan rakyat untuk seseorang yang muda, bertenaga untuk mentadbir negara.

Saya sebagai orang muda, menentang sekeras-kerasnya pencalonan Dr Mahathir ini dan menganggap ia sekadar gimik politik murahan pembangkang untuk meraih simpati golongan pertengahan dan golongan yang berusia.

Tindakan Dr Mahathir yang pada suatu ketika dahulu pernah secara lantang menyatakan
YB Lim Kit Siang sebagai ‘rasist’ dan mengarahkan penangkapan Anwar Ibrahim kerana perbuatan liwat, tetapi hari ini telah memohon maaf dan melakukan ‘u-turn’ dengan bersekongkol dengan musuh-musuh kental politik beliau suatu ketika dahulu. Tindakan beliau ini tidak ubah seperti ‘meludah ke langit, akhirnya terkena muka sendiri’.

Sama juga keadaanya dengan tindakan pemimpin-pemimpin parti komponen yang lain seperti Mat Sabu, Lim Guan Eng, Khalid Samad yang pernah mengelar Dr Mahathir sebagai Maha Firauan, Maha Mahathir, tetapi kerana inginkan kuasa, tunduk dan patuh kepada susuk tubuh tua yang pernah mereka cela dan hina suatu ketika dahulu.

Jelas, politik seperti ini tidak berintegriti ini dan mereka-mereka ini hanya tamakkan kuasa dan sesungguhnya perlu ditolak secara total oleh rakyat Malaysia pada PRU-14 yang akan datang.

FAKTOR UNDI BUKAN MELAYU

Saya akur dan akui bahawa undi orang bukan Melayu terutamanya bangsa saya sendiri, iaitu bangsa Cina, tidak menyebelahi Barisan Nasional pada PRU-12 dan Ke-13. Ini adalah kerana masyarakat Cina pada ketika itu termakan pujuk rayu serta janji manis puak pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang.

Namun pada hari ini, masyarakat Cina telah mula sedar bahawa mereka telah ditipu oleh pakatan pembangkang selama hampir 10 tahun. Dan pada PRU-14 ini, mereka pasti akan kembali menyokong Barisan Nasional kerana Barisan Nasional sahajalah kerajaan yang mempunyai misi dan visi yang jelas terutamanya apabila Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menggagaskan Pelan Transformasi Nasional dan Transformasi Nasional 2050.

Kita perlu faham status quo yang menyatakan bahawa kebanyakkan masyarakat Cina adalah mereka yang terlibat dalam perniagaan. Bagi seseorang ahli perniagaan, mereka hanya akan menyokong kepada kerajaan yang memberikan keuntungan kepada mereka dan mempunyai dasar dan polisi ekonomi yang jelas dan stabil.

Malangnya, pakatan pembangkang sehingga ke hari ini tidak pernah menunjukkan apakah strategi ekonomi mereka bagi memajukan negara. Ia secara tidak langsung menyebabkan masyarakat Cina berpatah arang dengan pembangkang, dan saya yakin akan berlaku sekali lagi tsunami politik pada PRU-14 nanti bilamana undi masyarakat Cina akan kembali menyokong Barisan Nasional.

FAKTOR ‘NAJIBNOMICS’

Ketika Dato Seri Najib mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah, beliau telah memperkenalkan satu polisi yang diberi nama “Program Transformasi Nasional” (NTP).

Pelaksanaan NTP sejak lapan tahun lalu yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas dan matlamat utama berjaya memacu pembangunan ekonomi negara untuk menuju negara berpendapatan tinggi.

Menerusi NTP yang dilaksanakan sejak 2010, Pendapatan Negara Kasar meningkat hampir 50 peratus, sekali gus mengurangkan jurang sasaran pendapatan tinggi, daripada 33 peratus kepada 19 peratus.

Selain itu, sebanyak 2.26 juta pekerjaan diwujudkan dan lebih satu juta daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

Pelaksanaan NTP juga menyaksikan eksport negara mencecah RM82.63 bilion Mac lalu, satu angka bulanan tertinggi bagi eksport Malaysia yang pernah direkodkan.

Kerana keyakinan pelabur kepada ‘najibnomics’ ini, pada tahun 2017 sahaja, 14 memorandum persefahaman (MoU) perniagaan antara Malaysia dan China bernilai RM144 bilion, 31 MoU perniagaan antara Malaysia dan India bernilai RM158.4 bilion, serta pelaburan AS$7 bilion (RM29.63 bilion) di Malaysia oleh Saudi Aramco.

Perlaburan seperti ini membawa bersamanya beribu-ribu pekerjaan baharu, pemindahan kemahiran dan peningkatan taraf hidup untuk keluarga yang tidak terhitung jumlahnya dan secara tidak langsung menguntungkan rakyat.

Banyak projek-projek pembangunan yang dibangunkan dalam NTP ini antaranya MRT, Lebuhraya Central Spine Road bebas tol bagi menghubungkan Kelantan dengan seluruh Semenanjung, fasa tiga Lebuhraya Pantai Timur yang akan dilanjutkan ke Kelantan, Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi pemacu utama bagi pembangunan dan perhubungan di Malaysia Timur dan banyak lagi. Ini tidak termasuk pembangunan di koridor wilayah Iskandar di Johor, dan lain-lain.

Seorang pakar ekonomi dan politik bebas, Bruce Gale menyatakan dibawah pimpinan Najib Razak, ekonomi Malaysia telah pesat dan tumbuh di atas kadar normal pertumbuhan antarabangsa. Maka secara jelas, NTP atau “Najibnomics” ini berjaya memacu negara menjadi lebih baik daripada kepimpinan sebelumnya.

KESIMPULAN

Semua orang pastinya ada hujah dan fakta masing-masing. Tetapi saya kekal percaya bahawa dengan 3 faktor ini, iaitu faktor mahathir, faktor undi bukan melayu dan faktor “Najibnomics”, rakyat Malaysia pasti akan terus memilih Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Ini adalah berkenaan masa hadapan negara kita, anak cucu kita. Bukan masanya untuk menyandarkan harapan kepada satu pakatan yang menawarkan hanya harapan palsu semata-mata.

Chiong Sen How
Ahli Parlimen Belia Malaysia
Merangkap
Ahli Jawatankuasa Pemuda Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Leave a Reply