373 Orang Berada Di PPS Di Mersing, Kota Tinggi

373 Orang Berada Di PPS Di Mersing, Kota Tinggi

JOHOR  BAHRU, 2 Jan — Seramai 373 orang melibatkan 93 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi dipindahkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pagi ini ekoran banjir yang melanda daerah itu sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 8 pagi, kawasan terjejas di Mersing melibatkan Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung Air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Beliau berkata di Kota Tinggi, kawasan terjejas melibatkan Kampung Bukit Raja dan Kampung Sungai Buntu.

“Tujuh PPS dibuka di Mersing yang menempatkan 339 orang melibatkan 84 keluarga iaitu Balai Raya  Taman Nakhoda, Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan, SK Tenglu, Balai Raya  Serbaguna Kampung Benaung, Pertubuhan Peladang Kawasan Endau, Balai Raya  Pengkalan Batu dan Balai Raya  Kampung Air Merah,” katanya menerusi kenyataan.

Ayub berkata dua PPS dibuka di Kota Tinggi iaitu Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia dan Surau Sungai Buntu yang menempatkan 34 orang melibatkan sembilan keluarga.

Beliau berkata keadaan dilaporkan masih hujan di Mersing.

Sehubungan itu, pemantauan banjir berterusan pelbagai agensi  yang terlibat sedang dilakukan di kedua-dua daerah termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Jabatan Pengairan dan Saliran. -Bernama

Leave a Reply