Bergandingan Menuju Dekad Baharu Johor – @KhaledNordin

Bergandingan Menuju Dekad Baharu Johor – @KhaledNordin

 

JOHOR BAHRU, 1 Jan – Dengan bermulanya tahun baru 2018, bermulalah langkah nekad negeri Johor untuk menggandakan usaha bagi membangunkan 10 tahun akan datang sebagai Dekad Baharu Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai sebuah negeri yang dipimpin oleh prestasi dan pencapaian, 2018 harus menjadi satu lagi tahun yang perlu di isi dengan pelbagai kejayaan dan penambahbaikan.

“Segenap sudut dan aspek pentadbiran serta pembangunan negeri Johor harus dihalakan ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan keharmonian sosial.

“Tugas serta tanggungjawab besar berkenaan adalah amanah yang harus disahut dan dipikul oleh semua pihak dalam ‘Team Johor’, katanya dalam perutusan Tahun Baru 2018, hari ini.

Khaled Nordin berkata, secara peribadi dan bagi pihak kerajaan Negeri, beliau ingin menyeru semua rakyat Johor untuk menanam azam dan tekad yang besar untuk tanah air tercinta.

“Marilah kita menggembleng segala usaha dan kudrat memastikan setiap pekerjaan serta amalan harian kita menjadi penyumbang yang mengangkat Johor ke tahap yang lebih baik.

“Kemajuan serta lonjakan Johor untuk menjadi sebuah negeri terbaik harus hadir sebagai aspirasi kita semua secara bersama dan ianya harus menjadi azam baharu kita semua dan bukan iltizam sesetengah pihak sahaja, katanya.

Menurut beliau, Dekad Baharu Johor adalah aspirasi dan nuansa yang menghimpunkan segala-gala yang terbaik untuk negeri dan masyarakat Johor dan ianya bukan satu slogan politik tetapi ianya adalah panggilan dan tugas patriotik untuk negeri Johor khususnya.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua rakyat Johor yang telah memberikan sehabis baik untuk negeri Johor sepanjang tahun 2017.

“Sesungguhnya segala sumbangan serta dedikasi yang besar dan ikhlas berkenaan adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada negeri ini serta bersempena hadirnya tahun baharu 2018 ini, saya harap kita semua akan dapat terus mempamerkan komitmen serta kesungguhan yang jauh lebih baik.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar cita-cita kita untuk membangunkan Dekad Baharu Johor ini bukan sahaja berjalan lancar dan berjaya, tetapi dipermudahkan oleh Yang Maha Esa.

“Kepada seluruh warga Johor, lelaki dan wanita, kecil dan dewasa, yang di dalam dan luar negara, saya mengucapkan selamat tahun baru 2018, katanya.

Leave a Reply