203 Orang Di Mersing Dipindahkan Ke Pusat Pemindahan Akibat Banjir

203 Orang Di Mersing Dipindahkan Ke Pusat Pemindahan Akibat Banjir

JOHOR BAHRU, 1 Jan — Seramai 203 orang daripada 56 keluarga di Mersing dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat malam ini akibat banjir yang mula melanda daerah berkenaan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 9 malam ini, kesemua mereka melibatkan penduduk di Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan dan Kampung Air Tawar.

“Seramai 11 orang daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Taman Nakhoda yang dibuka sejak 1.45 petang tadi, 56 orang daripada 18 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Air Papan yang dibuka sejak 4.15 petang manakala 57 orang daripada 17 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Tenglu yang dibuka sejak 4.30 petang.

“Seramai 40 orang daripada enam keluarga pula dipindahkan di PPS Balai Raya Serbaguna Kampung Benaung yang dibuka sejak 4.45 petang manakala 39 orang daripada 11 keluarga dipindahkan di Pertubuhan Peladang Kawasan Endau yang dibuka pada 5.20 petang,” katanya  menerusi kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Ayub berkata seramai 15 orang daripada enam keluarga di Kampung Bukit Raja, Kota Tinggi masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia yang dibuka sejak 9 pagi tadi.

Beliau berkata pemantauan banjir berterusan oleh agensi yang terlibat sedang dilakukan di kedua-dua daerah yang melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Menurutnya, laporan semua 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini pula memaklumkan semua sekolah dapat beroperasi dengan baik hari pertama persekolahan hari ini kecuali Sekolah Kebangsaan Punan dekat Kluang yang tidak dapat beroperasi kerana banjir di laluan ke sekolah.

Katanya, bagaimanapun usaha dan ikhtiar telah dijalankan bersama agensi keselamatan bagi membolehkan 11 orang guru ke sekolah mulai esok.

Leave a Reply