Tun Mahathir Diktator – Nur Jazlan

Tun Mahathir Diktator – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU – Janji Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembali hak kebebasan bersuara jika berjaya mengambil alih tampuk pentadbiran negara, suatu mustahil.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan janji yang disuarakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu adalah bertentangan dengan jiwa sebenar bekas Perdana Menteri itu, seorang diktator.

“Bolehkah harimau bintang padam bintik-bintik pada badannya.. tak bolehkan? Dulu siapa yang guna ISA, Ops Lalang demi kepentingan dia, sekarang ini dia sudah terkeluar dan tidak lagi memegang kuasa. Sekarang dia hanya nak memastikan anaknya dapat jadi Perdana Menteri suatu hari nanti, sama ada menggunakan kenderaan BN atau pembangkang itulah matlamatnya.

“Saya tidak percaya dia akan bertindak liberal dan memberi kebebasan bersuara yang bertentangan dengan jiwanya yang sebenar iaitu seorang yang diktatorial, katanya katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai di Kompleks Sukan Hospital Permai, Kempas, di sini hari ini.

Mahathir yang berucap dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di sini, hari ini berkata tindakan menyuruh polis menangkap mereka yang berucap atau menyuarakan pandangan di media sosial demi kepentingan politik pihak pemerintah perlu dihentikan.

Nur Jazlan turut menyifatkan sikap Mahathir lidah bercabang yang hanya mempunyai kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata.

“Lidah dia bercabang, sekejap dia kata sayang Umno, kemudian dia kritik Umno. Akhirnya kepentingan diri dia sendiri merupakan matlamat utama, saya tak menolak kemungkinan dia menggunakan pendekatan serampang dua mata.

“Sekarang dia bersama pembangkang, lepas pru nanti saya tak menolak kemungkinan dia kembali kepada  Umno dengan syarat-syarat tertentu, ini perangai Tun Mahathir” katanya mengas berhubung dakwaan Mahathir  sedang berunding supaya anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dapat bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Bersempena Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai pelbagai acara diadakan pada program tersebut antaranya acara tarik tali, pertandingan mewarna, sukaneka, sukan rakyat, senamrobik, Pulai Pinky Walk serta acara utama iaitu perlawanan bola sepak antara Super Lawak FC menentang Pilihan Kempas. – SINAR HARIAN

Leave a Reply