PM Bakal Rasmi UTC Pasir Gudang 25 Januari

PM Bakal Rasmi UTC Pasir Gudang 25 Januari

 

ISKANDAR PUTERI, 30 Dis – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang yang bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan depan akan membuka satu lagi lebaran baharu dalam sistem penyampaian perkhidmatan setempat kepada penduduk di kawasan itu dan sekitarnya.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ), selain penduduk Pasir Gudang, UTC itu juga akan memberi kemudahan perkhidmatan kepada penduduk Kota Tinggi dan Pengerang.

“Cadangan Pembangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang adalah cetusan idea Menteri Besar Johor berdasarkan kepada kepadatan penduduk di kawasan Pasir Gudang berjumlah lebih 420,000 orang serta pembangunan pesat yang ketara di kawasan itu.

“Kementerian Kewangan Malaysia bersetuju meluluskan permohonan cadangan kerajaan negeri Johor bagi membangunkan UTC Pasir Gudang di Bangunan Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang milik Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG),” tambah kenyataan itu.

Satu majlis “soft-launching” akan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, pada 9.30 pagi esok.

Pemilihan lokasi pembangunan UTC di Pasir Gudang turut mengambil kira pembangunan RAPID Pengerang dan bertindak sebagai pelengkap kepada pembangunan hab petroleum itu.

Ia juga sekaligus dapat membantu menampung limpahan pengunjung dan pelanggan ke UTC di Pusat Bandaraya Johor Bahru.

Pembangunan UTC Pasir Gudang juga amat signifikan dan berkesinambungan bagi kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang mengutamakan kesejahteraan masyarakat.

Usaha itu juga sekadar dengan wawasan untuk memastikan pembangunan dan kemajuan yang lestari khususnya bagi kawasan Pasir Gudang dan Johor secara amnya.

Antara agensi-agensi yang dijangka bakal beroperasi di UTC itu kelak termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Belia dan Sukan (Youth Centre), Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN), TEKUN Nasional, Pejabat Tanah dan Galian Johor, Bahagian SUK Perumahan Johor serta Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

 

Leave a Reply