Tanah Milik, Isu Terakhir Perbetul Semula Organisasi Felda – Shahrir

Tanah Milik, Isu Terakhir Perbetul Semula Organisasi Felda – Shahrir

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad menganggap usaha mendapatkan kembali tanah milik Felda yang dipindah milik melalui transaksi diragui adalah isu terakhir untuk diperjuangkannya dalam meletakkan kembali Felda di landasan yang betul.

Dalam temu bual khas di ibu pejabat Felda hari ini, Shahrir berkata isu-isu lain yang menggelincirkan Felda, kini di bawah kendalian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah.

“Nak katakan isu tanah di (Jalan) Semarak ini sebagai yang terakhir, itu betul. Bahkan isu inilah yang paling rumit. Isu lain adalah pembelian Hotel Grand Plaza Kensington Hotel dan hotel di Kuching, (Merdeka Palace Hotel and Suites) itu memang sedang berjalan.

“Kes itu sudah ada yang ditahan dan ada penyiasatan SPRM. Yang baru kita buka ini (tanah) adalah isu terakhir. Semua ini saya buat dalam tempoh tahun pertama saya sebagai pengerusi Felda,” kata beliau.

Sejak dilantik pada 6 Jan, beberapa tindakan telah dilakukan Shahrir untuk menyusun semula barisan pengurusan Felda, penstrukturan semula aset serta mengukuhkan kedudukan kewangan organisasi itu.

Antara tindakan drastik yang diambil ialah mengarahkan peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation (FIC) pada Januari serta penjualan aset-aset seperti kereta mewah dan hotel Grand Plaza Service Apartment di London.

Dua aset milik FIC di London dan Kuching sedang disiasat SPRM atas dakwaan pembelian pada kadar jauh lebih tinggi daripada kadar pasaran yang mengakibatkan kerugian kepada anak syarikat Felda itu.

Shahrir berkata sewaktu mula menerima tugas pada Januari bukan sahaja peneroka tidak percaya kepada Felda tetapi pihak bank juga tidak yakin dengan Felda sehingga sukar untuk mendapatkan pembiayaan kewangan.

Tawaran pembiayaan yang datang pula menuntut cagaran berlipat kali ganda nilainya daripada nilai pembiayaan.

“Melihat keadaan ini, kami mengambil keputusan untuk menjual aset-aset yang tidak diperlukan. Apa yang penting kedudukan kewangan Felda dapat distabilkan dengan segera. Melihat kesungguhan Felda ini, pada Jun lalu, Maybank tawarkan penerbitan sukuk. Saya pun mula-mula tak percaya tetapi inilah bukti bank kembali percaya kepada Felda,” ujar beliau.

Di samping itu, Shahrir turut menyeru wakil kepada barisan lembaga pengarah yang bertanggungjawab untuk memberi penjelasan berhubung pemberian status wakil penuh kepada syarikat Synergy Promede Sdn. Bhd yang dibuat tanpa dilaporkan kepada lembaga pengarah.

“Mengapa keputusan dibuat awal tanpa kelulusan lembaga pengarah, hanya sahkan selepas itu sedangkan perkara ini besar. Mengapa PA (surat kuasa wakil penuh) yang begitu kuat kuasanya diberikan kepada syarikat ini? Keputusan ini meragukan kerana dibuat sebelum daripada mesyuarat lembaga pengarah,” soal Shahrir.

Menurut rekod, PA itu dianugerahkan pada 3 Jun 2014 dan hanya dilaporkan kepada lembaga pengarah pada 2 Sept tahun yang sama.

“Orang di luar Felda tak tahu apa yang berlaku di dalam. Kita dapat tahu tentang isu tanah dipindah milik pada hujung Januari tahun ini. Mulai saat itu kita cermat sikit susun betul-betul langkah kerana ia melibatkan pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan dan kakitangan kerajaan.

“Sehinggalah dapat kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara, perdana menteri pun tahu. Pendapat Jabatan Peguam negara amat tegas iaitu ‘batalkan PA dan daftarkan kaveat. Itulah hala tuju yang kita ambil sepanjang kes ini,” kata beliau.

Felda sebelum ini dilaporkan bakal kehilangan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu yang dianggarkan bernilai RM200 juta akibat pertukaran hak milik menerusi transaksi yang meragukan sejak 2015.

Dikatakan lot tanah seluas 16 hektar menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda sudah ditukar nama kepada syarikat lain pada 2016 dan pindah milik tanah itu berlaku apabila FIC melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 2014 serta diberi surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Leave a Reply