Dokumen Tak Lengkap, Antara Sebab Mohon MyDeposit Ditolak

Dokumen Tak Lengkap, Antara Sebab Mohon MyDeposit Ditolak

KOTA TINGGI, 27 Dis — Dokumen tidak lengkap adalah salah satu daripada tiga faktor utama permohonan awal Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama ( MyDeposit) ditolak sekali gus hilang kelayakan untuk menerima insentif sehingga RM30,000.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata dua faktor lain ialah pemohon tidak penuhi syarat kelayakan ditetapkan sama ada pendapatan isi rumah kurang dari RM3,000 atau melebihi RM15,000.

Katanya, pembelian rumah daripada pemaju yang mendapat dana atau subsidi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Program Perumahan Rakyat (PPR) dan lain-lain sama ada dari kerajaan negeri atau persekutuan juga menyebabkan permohonan boleh ditolak.

“Apabila sudah buat permohonan yang penuhi syarat-syarat, pemohon akan diberikan surat tawaran kelulusan bersyarat, namun, selepas itu ada di antara mereka yang ditolak kerana selepas semakan ada di antara salah seorang, suami atau isteri sudah miliki rumah.

“Pemohon yang gagal dapatkan pembiayaan dari institusi kewangan dan gagal kemukakan perjanjian jual beli juga menyebabkan mereka ditolak.

Yang diluluskan adalah mereka yang berjaya dapat sediakan semua yang dikehendaki dalam masa 30 hari,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan turun padang di Kampung Kelantan, di sini, hari ini.

Halimah yang juga Anggota Parlimen Tenggara berkata sejak dibuka dari 7 April 2016 hingga Oktober lepas, sejumlah 1,469 permohonan MyDeposit diluluskan dengan jumlah bayaran lebih RM39 juta.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah daripada 6,298 pemohon di mana sebanyak 2,871 pemohon diberikan surat tawaran kelulusan bersyarat.

“Daripada 1,469 jumlah yang lulus, pemohon dari Selangor adalah paling ramai dengan jumlah permohonan sebanyak 1,989 pemohon, di mana 519 orang terima kelulusan.

“Ini diikuti Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Johor.

“Kerajaan melalui Bajet 2018 juga telah memberikan penambahan peruntukan sebanyak RM25 juta berbanding RM20 juta tahun lalu untuk skim ini,” katanya.

Leave a Reply