Dana Didik Jauhar Kids (DDJK) Pupuk Budaya Tabiat Menabung – Ayub

Dana Didik Jauhar Kids (DDJK) Pupuk Budaya Tabiat Menabung – Ayub

JOHOR BAHRU, 20 Dis – Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pelajaran negeri dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta beberapa agensi berkaitan berkerjasama mewujudkan program Dana Didik Jauhar Kids (DDJK) dalam usaha membudayakan tabiat menabung bagi tujuan pendidikan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata menerusi dana tersebut, pemberian sumbangan RM50 bagi anak kelahiran Johor untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan program ini telah dinyatakan dalam ucapan Bajet Negeri Johor 2018.

Menurut beliau antara syarat kelayakan adalah ibu dan bapa warganegara Malaysia dan keutamaan diberikan kepada ibu dan bapa lahir di Negeri Johor serta anak yang lahir di Negeri Johor mulai 1 Januari 2018 manakala pendapatan ibu bapa adalah di bawah RM 7000 sebulan.

“SSPN-i adalah merupakan satu instrumen simpanan yang direka khas oleh PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi dengan berlandaskan syariah menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’ iaitu di mana pendeposit melantik PTPTN untuk menguruskan deposit mereka bagi tujuan pelaburan.

“Menerusi program Dana Didik Jauhar Kids melalui SSPN-i, pertamanya pelepasan taksiran cukai hingga RM6,000.00 setahun berdasarkan simpanan bersih tahun semasa, keduanya, perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000.00 dan ke atas, ketiga, kadar dividen yang kompetitif dan dikecualikan cukai pendapatan.

“Seterusnya pemberian geran sepadan sehingga RM10,000.00 untuk satu keluarga yang layak, kelima, simpanan dijamin oleh kerajaan, keenam, layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN dan terakhir kemudahan menyimpan di cawangan PTPTN dan lebih 3,000 cawangan ejen bank yang mempunyai perkhidmatan deposit SSPN-i.

“Borang-borang ini boleh didapati di semua wad bersalin hospital utama kerajaan di Johor, Yayasan Pelajaran Johor, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)dan semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara di Negeri ini mulai 1 Januari 2018,” katanya dalam satu kenyataan kepada umno-johor.com.

Ayub seterusnya menambah pemohon perlu menghantar kembali borang yang lengkap di mana-mana 19 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara di negeri ini atau terus ke pejabat Yayasan Pelajaran Johor untuk diproses.

“Pelancaran DDJK dijangka diadakan pada Februari 2018 oleh Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled bin Nordin dan semoga usaha ini dapat memberi manfaat sebagai permulaan simpanan kepada anak anak yang lahir di Negeri Johor bagi tahun 2018,” katanya.

Leave a Reply