Kebersihan Tandas Awam Masih Lemah

Kebersihan Tandas Awam Masih Lemah

MUAR 18 Dis. – Tahap kebersihan tandas awam di seluruh negara masih kurang memuaskan apabila hanya 22.35 peratus diberikan penarafan empat bintang, meningkat 2.3 peratus sahaja berbanding tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, laporan, aduan dan perbincangan mengenai tandas awam yang tersumbat, kotor, rosak, berbau dan tidak diselenggara dengan baik masih kedengaran di pelbagai tempat.

“Ia bukan sahaja melibatkan tandas awam tetapi juga kemudahan sama di kompleks beli-belah, sekolah, restoran dan sebagainya.

“Malah, persepsi negatif ma­syarakat kita kononnya mereka sebagai pengguna yang membayar cukai dan bukannya selaku pembersih tandas juga perlu diperbetulkan kerana tanggungjawab menjaga kebersihan tandas adalah peranan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Karnival Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, On Jabbar; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar, Jamaludin A. Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan kementerian, Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor-Ihsan Che Mat.

Sehubungan dengan itu, Ha­limah berharap Pelan Tindakan Pengurusan Tandas Awam Kebang­saan yang diperkenalkan dapat mempertingkatkan lagi tandas awam di negara ini.

Menurutnya, Manual Pembersihan Tandas Awam yang mendapat kelulusan Mesyuarat Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-71 pada Mei lalu juga akan mewujudkan keseragaman kaedah pembersihan tandas yang betul.

Sementara itu, Halimah ber­kata, masyarakat tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kerajaan atau pihak berkuasa tempatan tetapi semua pihak perlu menerap­kan budaya menjaga kebersihan bermula dari rumah.

Dalam pada itu, ujar beliau, kementerian juga bercadang untuk menukar cara penarafan tandas-tandas dengan memberi peluang kepada pengguna menilai berbanding diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan. – UTUSAN

Leave a Reply