Pontian Bakal Dikenali Bandar Nanas

Pontian Bakal Dikenali Bandar Nanas

PONTIAN 17 Dis. – Kerajaan negeri sedia menjadikan daerah ini sebagai Bandar Nanas bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mana Cameron Highland yang dikenali Bandar Strawberi.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan, Perdagangan dan Ke­penggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, cadangan itu amat bertepatan memandangkan nanas sinonim dengan Pontian.

“Ini secara tidak langsung akan memberikan nilai tambah kepada Pontian yang dikenali sebagai Bandar Penghujung Benua Asia bagi melonjakkan lagi sektor pelancongannya.

“Syor ini cukup baik untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengiktirafkan bandar Pontian sebagai Bandar Nanas dalam kalangan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Kopi Perisa Nanas (Kopi Ngen­ces) dalam program Fiesta Nanas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Pusat Perdagangan Pontian di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan; Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Khairul Zamri Mohd. Salleh; Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas, Selamat Othman.

Kopi Ngences dengan lima pe­risa itu diusahakan usahawan food truck, Mohd. Redzuan Shah yang memberikan nilai tambah kepada nanas, selain dijual secara segar kepada orang ramai.

Siew Kiong berkata, antara faktor lain yang boleh mengukuh­kan cadangan itu ialah kerana terdapat muzium nanas di sini, selain perintis penanaman tanaman tersebut dengan wujudnya kilang nanas.

Selain itu katanya, replika buah nanas di tengah-tengah bandar Pontian dan Pekan Nanas termasuk beberapa tanda yang menunjukkan buah tersebut pada lampu jalan, perhentian bas dan sebagainya mampu me­nguatkan lagi cadangan tersebut.

“Ia perlu diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan LPNM dengan mewujudkan Laman Nanas di bandar Pontian bagi memudahkan pelancong melihat tanaman ini.

“Selain PBT dan LNPM, pe­ngusaha atau peniaga tempatan boleh membuat pelbagai cende­ramata berteraskan nanas, antaranya kemeja-T, topi, seluar, pemegang kunci dan lukisan,” katanya.

Menurutnya, produk makanan yang berasaskan nanas seperti nasi nanas, tat nanas, sos nanas dan air jus nanas harus harus diperkenalkan. –UTUSAN

Leave a Reply