Pasca PAU 2017: Terus Bergerak Ke Hadapan Mendepani Cabaran Untuk Menang PRU-14- Norshida

Pasca PAU 2017: Terus Bergerak Ke Hadapan Mendepani Cabaran Untuk Menang PRU-14- Norshida

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata segala amanat dan pesanan yang disampaikn oleh kepimpinan tertinggi UMNO pada perhimpunan agung parti yang berakhir Sabtu lalu seharusnya dilaksanakan sebaik mungkin dalam usaha melayari perjalanan mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menurut beliau perhimpunan tersebut sarat dengan ingatan dan pelbagai ramuan daripada pucuk pimpinan parti yang sememangnya merupakan pelengkap dan juga nilai tambah kepada segala pergerakan serta pelaksanaan yang telah dirancang sebelum ini.

“Justeru pada saya inilah masanya ahli di akar umbi untuk kita sama-sama melipatgandakan lagi usaha kita yang telah dilaksanakan sekian lama berasaskan kepada ramuan yang dibekalkan pada perhimpunan agung parti baru-baru ini.

“Inilah juga masa yang terbaik untuk semua jentera dan di kawasan saya sendiri insya-Allah, kita akan memberi tumpuan serta fokus yang terbaik untuk membantu parti khususnya dalam memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kegemilangan dalam pilihan raya umum nanti.

“Sememangnya PRU-14 sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua pihak dengan berbekalkan semangat serta azam dan tekad yang tinggi daripada seluruh jentera parti, insya-Allah pasca Perhimpunan Agung UMNO ini diyakini akan terus melonjakkan semangat masing-masing untuk bergerak,” katanya kepada UMNO-Online.

Norshida seterusnya melontarkan keyakinannya pasca Perhimpunan Agung UMNO sedikit sebanyak bukan sahaja meningkatkan solidariti malah turut melonjakkan azam di pelbagai peringkat untuk terus memperkasakan lagi parti.

Katanya dengan pelbagai cabaran yang mendatang, UMNO dan BN insya-Allah mampu menggalas cabaran berkenaan sekaligus dapat melaksanakan segala tanggungjawab dan amanah untuk rakyat.

“Kesungguhan dan komitmen pucuk pimpinan khususnya Presiden Parti, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan kita terus berusaha dan melipatgandakan gerakan yang sedia ada semestinya menaikkan lagi iltizam kami untuk terus bergerak ke depan. Apa yang penting kita sama-sama memastikan jentera bergerak dari akar umbi,” katanya lagi. UMNOOnline

Leave a Reply