Tiada Laporan Kesihatan Bayi Terjejas Akibat Susu Tiruan – Ayub

Tiada Laporan Kesihatan Bayi Terjejas Akibat Susu Tiruan – Ayub

JOHOR BAHRU, 13 Dis  — Pihak berkuasa kesihatan tidak menerima sebarang laporan berhubung kesihatan bayi terjejas akibat terminum susu rumusan bayi tiruan setakat ini  susulan rampasan produk berkenaan di sini Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johori Datuk Ayub Rahmat berkata ini berdasarkan pemantauan Jabatan Kesihatan negeri  ke atas semua pusat kesihatan di negeri itu.

“Alhamdulillah, ini adalah sesuatu yang kita dapat kawal namun kita menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Karnival JCare di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada pihaknya ada menerima laporan mengenai bayi yang terjejas kesihatannya berikutan rampasan susu formula bayi tiruan di pasaran Johor.

Meskipun begitu, Ayub menggesa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperluas operasi untuk terus mengesan produk sedemikian di negeri itu.

Selain itu, beliau turut meminta  KPDNKK memberi penjelasan kepada masyarakat tentang perbezaan produk asli dan tiruan agar mereka tidak terkeliru selain mengurangkan kebimbangan ibu bapa mengenai produk berkenaan.

“Perkara ini menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat. Mereka bimbang dan ingin tahu perbezaan di antara produk asli dan tiruan. Jadi mereka (KPDNKK) kena jelaskan kepada mereka (pengguna),”katanya.

Khamis lepas, KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan di tiga premis iaitu kedai menjual ubat-ubatan dan kedai serbaneka sekitar bandar raya itu.

Leave a Reply