UMNO Gelang Patah: “Masyarakat Dah Sedar Sikap Pembangkang”

UMNO Gelang Patah: “Masyarakat Dah Sedar Sikap Pembangkang”

GELANG PATAH, 11 Dis – Barisan Nasional (BN) yakin kembali mendapat sokongan rakyat di Gelang Patah kerana kegagalan wakil rakyat pembangkang berkhidmat untuk masyarakat.

Ketua Bahagian UMNO Gelang Patah Mohamad Khairi Malek berkata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen kawasan tersebut jarang berada dalam kawasan setelah memenangi kerusi Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kita dapat rasakan pengundi, sama ada masyarakat Cina atau pun Melayu di sini sudah sedar dengan sikap pembangkang. Setiap kali berlaku masalah, mereka akan mencari wakil BN dahulu dan bukan parti satu lagi (pembangkang).

“Kita (BN) pula tidak kisah membantu, tidak kiralah UMNO mahupun parti komponennya MCA dan Gerakan.

“Sejak mengalami kekalahan pada PRU lepas, BN telah bekerja keras di kerusi ini kerana bagi kami, ia sama-sama penting seperti kerusi lain dan tidak boleh lagi jatuh ke tangan pembangkang,” Khairi berkata seperti dilaporkan Bernama.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Johor itu, BN berterusan menjalankan program kemasyarakatan di Parlimen itu sepanjang penggal ini bagi meyakinkan semula rakyat.

Ini termasuklah program bersama masyarakat Cina untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan supaya mereka tidak lagi dipengaruhi oleh pembangkang.

“Satu contoh terbaik kita ialah menerangkan kepada mereka mengapa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) harus dilaksanakan. Kita gunakan kaedah yang mudah untuk memahamkan mereka. Jika tidak, mereka akan terus hanyut dengan politik pembangkang dan menyalahkan kepimpinan perdana menteri kerana keadaan ini berlaku,” katanya.

Pada PRU lepas, Lim menewaskan bekas Menteri Besar, Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman dalam pertarungan satu lawan satu di Gelang Patah dengan majoriti 14,762 undi.

Leave a Reply