Tubuhkan Tabung Wakaf Pendidikan Bagi Perkasa Pengajian Tinggi Pelajar Melayu- Zahari

Tubuhkan Tabung Wakaf Pendidikan Bagi Perkasa Pengajian Tinggi Pelajar Melayu- Zahari

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor hari ini mencadangkan penubuhan Tabung Wakaf Pendidikan bagi memperkasakan pengajian tinggi untuk pelajar Melayu di seluruh negara

Perwakilan Johor, Senator Zahari Sarip berkata, cadangan itu yang berdasarkan kepada kejayaan konsep wakaf di Johor, akan membolehkan masyarakat berinfaq dan menyumbang kepada pendidikan anak bangsa.

Melalui penubuhan tabung wakaf itu, misalnya, pelajar yang meminjam RM30,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya perlu membayar RM20,000 dengan baki selebihnya (RM10,000) boleh dibiayai tabung wakaf itu.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, berkata kesedaran masyarakat mengenai kepentingan dan peranan wakaf pendidikan semakin meningkat.

Sehubungan itu, katanya, UMNO Johor berharap Kementerian Pendidikan akan mengambil peranan untuk mengendalikan Tabung Wakaf Pendidikan itu.

“Kita juga cadangkan untuk keluarga luar bandar berpendapatan kurang RM5,000 di mana tiada bapa, ibu atau mana-mana ahli keluarganya yang pernah masuk ke universiti, untuk anak pertama keluarga itu wakaf pendidikan itu dijadikan sebagai biasiswa.

“Ini sebagai ganjaran (kepada pelajar itu) sebagai orang pertama sambut pelajaran ke universiti. Wakaf pendidikan ini akan membantu pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Wakaf Pendidikan itu juga membantu mengurangkan hutang pendidikan anak Melayu, selain meringankan beban PTPTN dalam pembiayaan pendidikan tinggi dan membolehkan lebih ramai pelajar mendapat pembiayaan pendidikan,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Segamat.

Dalam masa yang sama, Perwakilan UMNO Kelantan mencadangkan penubuhan Universiti Al-Quran di negeri itu bagi mencapai sasaran melahirkan seramai 125,000 tahfiz menjelang tahun 2050.

Amran Arifin berkata, ketika ini kebanyakan pelajar yang mengikuti pembelajaran dalam bidang tahfiz akan tamat pengajian di peringkat menengah menjelang tahun 2020, namun tiada kursus menjurus sepenuhnya dalam bidang tahfiz yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Sebagai persediaan ke arah itu, katanya, pelbagai program seperti Tahfiz Model Ulul Albab dan kurikulum bersepadu tahfiz perlu diwujudkan dalam sistem persekolahan.

“Kelantan memiliki banyak tanah dan sentiasa bersedia menyediakan tempat bagi memastikan bakal graduan tahfiz ini berada pada landasan yang tepat, mempunyai matlamat, selain sasaran jumlah tahfiz dapat direalisasikan.

“Kita mahu Universiti Al-Quran ini direalisasikan demi kepentingan dan manfaat bersama,” katanya ketika menyokong cadangan usul pendidikan dan agama yang dibawa oleh Perwakilan UMNO Johor, pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Leave a Reply