ATM siap siaga tunggu isyarat – Hishammuddin

ATM siap siaga tunggu isyarat – Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga menunggu isyarat dalam menghadapi sebarang kemungkinan susulan tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pasukan itu akan melaksanakan apa juga arahan daripada Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Awal minggu ini kita dikejutkan dengan berita yang sangat membimbangkan berhubung kestabilan geo-politik dunia. Tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel adalah tamparan hebat kepada seluruh dunia Islam.

“Marilah kita berdoa dan terus berdoa agar konflik ini tidak membawa ke ambang kemusnahan. Ingatlah, mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

“Namun begitu, kita harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam isu Baitulmaqdis ini. ATM sentiasa bersiap siaga, menunggu isyarat dan arahan daripada pucuk pimpinan dan payung negara untuk menyumbang peranan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Mengenai keselamatan negara, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata beliau menyedari kebimbangan rakyat terhadap ancaman daesh.

“Ancaman yang bermula hanya bersifat wilayah, hari ini ia menjadi ancaman sejagat. Bermula di Asia Barat, hari ini bendera daesh telah berkibar di Marawi, Filipina. Negara jiran yang amat dekat dengan negara kita.

“Soal keselamatan adalah sesuatu yang amat serius. Ia memerlukan ketelitian tertinggi dan tidak boleh berlaku sebarang kesilapan. Selagi diamanahkan untuk menjaga perbatasan negara, saya berjanji untuk tidak membiarkan walau seinci pun tanah ibu pertiwi ini termasuk Sabah dan Sarawak diceroboh dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak,” katanya.

Hishammuddin turut menyentuh mengenai kebiadapan pembangkang yang semakin menjadi-jadi menghina institusi Raja.

“Mereka heret rakyat jelata untuk tidak lagi menghormati Raja-Raja yang menjadi lambang demokrasi Raja Berperlembagaan di negara ini. Mereka tolak prinsip taat setia kepada Raja seperti disebut dalam Rukun Negara.

“Kita ahli UMNO yang berhimpun di Dewan Merdeka sekali lagi berjanji, akan terus mempertahankan institusi Raja di negara ini. Raja dan rakyat berpisah tiada. Raja dan UMNO juga berpisah tiada,” katanya.

Leave a Reply