Wakil UMNO Johor Ajak Seluruh Jentera Perangi Dakyah Pembangkang

Wakil UMNO Johor Ajak Seluruh Jentera Perangi Dakyah Pembangkang

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Perwakilan UMNO Johor, Hahasrin Hashim dalam sesi perbahasan usul ekonomi menyifatkan gendang yang dipalu oleh pembangkang kononnya jika tidak menukar kerajaan negara akan makin teruk adalah kenyataan yang bukan sahaja tidak benar malah amat tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau pembangkang menggambarkan seolah-olah Malaysia kini sedang dibelenggu krisis ekonomi yang begitu serius, sehinggakan bukan sahaja segala institusi awam dan aktiviti ekonomi berada dalam keadaan nazak.

“Malah, Malaysia ini dikatakan sedang berada di ambang kebankrapan. Dan jika kita tidak menukar Kerajaan, maka kesemuanya akan menjadi huru-hara, hancur lebur dan sudah tidak dapat diselamatkan.

“Johor ingin mengambil pendirian dan menyatakan dengan tegas bahawa dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak benar. Tetapi amat tidak bertanggungjawab. Ekonomi Malaysia tidak berada dalam krisis dan kita juga tidak berada dalam krisis,” katanya pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menegaskan perkara ini boleh dijelaskan dengan merujuk kepada banyak fakta. Antaranya pertama, peratusan pengangguran di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia yakni pada kadar hanya 3.4% setakat September 2017, malah lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun lepas.

“Kedua, KDNK Negara pada suku ketiga tahun 2017 mencapai kadar 6.2%, yang tertinggi sejak tahun 2014. Malah, petunjuk-petunjuk ekonomi yang lain juga menunjukkan peningkatan serta perkembangan yang positif, sekalipun agak sedikit perlahan.

“Walaubagaimanapun, kita  tidak menafikan bahawa wujudnya cabaran-cabaran semasa yang dialami oleh rakyat terutama yang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang sedang mengalami fasa penyelarasan.

“Faktor-faktor seperti kerancakan revolusi industri keempat, kehadiran China sebagai kuasa ekonomi yang baharu yang besar dan radikal, harga minyak yang tidak menentu, kesemua ini pastinya memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi negara, tetapi semua ini, tidak bermakna yang kita sedang nazak dan bakal bankrap,“ katanya.

Leave a Reply