Tiada Seorangpun Wanita UMNO Pagoh Berpaling Tadah – Noriah

Tiada Seorangpun Wanita UMNO Pagoh Berpaling Tadah – Noriah

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Pergerakan Wanita UMNO Pagoh hari ini menegaskan bahawa tidak ada seorangpun Wanita UMNO Pagoh yang berpaling tadah daripada UMNO walaupun kawasan itu pernah melalui kemelut politik sebelum ini.

Ketua Wanita UMNO Pagoh, Datuk Noriah Mahat berkata bahagiannya dapat keluar daripada kemelut itu kerana adanya sokongan padu berterusan daripada pucuk pimpinan parti.

“Pagoh akhir-akhir ini sering saja dijadikan penanda aras sokongan rakyat kepada UMNO kononnya kejatuhan UMNO Johor akan bermula di Pagoh dan bila UMNO Johor jatuh, maka era kepimpinan UMNO juga akan dikhatamkan di negara ini.

“Walaupun pernah melalui waktu-waktu sukar selepas kehilangan mantan Timbalan Presiden merangkap Timbalan Perdana Menteri yang datang dari bahagian ini, namun UMNO Pagoh tidak pernah lumpuh dek ujian itu.

“Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa “sekali air bah, sekali tepian berubah”. Tetapi berbeza di Pagoh, sekali dilanda bah politik, tapi tidak sesekali mengubah tepiannya yang dibentengi tembok kukuh UMNO,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa berbahas bagi menyokong ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Menurutnya, tahun 2015 bukanlah kali pertama UMNO Pagoh dilanda krisis politik, tetapi sejarah menunjukkan bahawa Pagoh pernah mendepani krisis yang seakan sama pada tahun 1980-an.

“Tan Sri Othman Saat, ayam tambatan kebanggaan tempatan pernah menjadi Menteri Besar Johor dan mengistiharkan keluar parti untuk menjadi pembangkang dengan penubuhan Parti Melayu Semangat 46.

“Walaupun orang-orang Pagoh begitu sayangkannya, namun sayang itu tidak dapat mematahkan taat setia orang-orang Pagoh kepada UMNO yang merahnya sudah lama mendarah dalam urat perjuangan mereka,” katanya.

Tambahnya, parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan oleh bekas Ketua UMNO Bahagian Pagoh dan dikhabarkan telah menggugat UMNO Pagoh, sebenarnya tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat tempatan, sebaliknya UMNO dilihat semakin kukuh dan kuat.

“Buktinya, kehadiran ahli ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri telah meningkat 100% dan perwakilan tidak berganjak sehinggalah tamat bersidang.

“Peristiwa itu juga telah disaksikan sendiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh pada tahun ini.

“Malah, para perwakilan dan ramai pembenci UMNO telah meramalkan sekurang-kurangnya 50 peratus cawangan-cawangan UMNO di Pagoh akan gagal untuk mencukupkan korum bersidang tetapi, 106 cawangan UMNO Bahagian Pagoh telah dapat bersidang dengan kehadiran luar biasa,” katanya. -JAUHAR

Leave a Reply