Pembangkang Memang Tidak Bertanggungjawab – Jais

Pembangkang Memang Tidak Bertanggungjawab – Jais

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Pihak pembangkang dibidas sebagai tidak bertanggungjawab ekoran sering menviralkan pelbagai perkara palsu agar menghasut rakyat membenci kerajaan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday, berkata pakatan pembangkang yang didominasi DAP itu sememangnya menanamkan sentimen kebencian dan perkauman sejak dahulu lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkata, jika dilihat pada rekod pentadbiran kerajaan, kejayaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya adalah lebih baik.

“Sebab itu, lebih 3 juta ahli UMNO yang saya percaya semua ada gajet dan telefon canggih, sepatutnya juga perlu bantu parti sama ada menjawab tuduhan atau persepsi negatif ini atau kita viralkan kebaikan yang dilakukan kerajaan.

“Jadi, kita tidak boleh berdiam diri. Orang UMNO juga mesti pintar dalam media sosial,” katanya ketika ditemui Jauhar pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Perwakilan UMNO Negeri Johor sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, hari ini.

Beliau mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini, yang mahu lebih tiga juta ahli UMNO atau lebih tujuh juta ahli BN menjadi pejuang siber dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam pada itu, Md Jais memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan perkara negatif di media sosial, sebaliknya melihatnya dengan teliti dan membuat perbandingan terlebih dahulu.

“(Kini) semua maklumat adalah di hujung jari… guna telefon sahaja dan tidak perlu buka komputer serta boleh diakses di mana-mana.

“Sebagai rakyat dan Bangsa Johor yang maju, cara fikir kita juga mesti seiringan dengan kemajuan yang kita mahu cipta dan tempuh,” katanya – JAUHAR

Leave a Reply