Johor Sahut Lima Seruan Presiden UMNO

Johor Sahut Lima Seruan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Dis – UMNO Johor menyahut seruan yang diutarakan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam usaha memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya menerima saranan berkenaan dan akan berusaha seberapa banyak yang boleh.

“Saya mengalu-alukan dan memberi perhatian kepada lima perkara yang Presiden sampaikan, dari segi bergerak sebagai satu pasukan, peranan sayap-sayap, perlu menyelesaikan masalah dengan segera, perlu menjadi tentera siber dan bertawakal kepada Allah selepas merancang dan berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Jauhar pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Perwakilan UMNO Negeri Johor sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, hari ini.

Terdahulu, Najib ketika memberi ucapan dasar Presiden mahu UMNO menguatkan azam dan tekad menuju kemenangan pada PRU-14 dengan berbekalkan lima seruan dan semboyan perang yang menjadi penentu kemenangan PRU.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor, berkata pihaknya juga menerima dan menyambut baik saranan Najib yang mahu semua pihak bersiap sedia berhadapan dengan PRU.

Katanya, UMNO perlu memastikan kejayaan dalam pilihan raya akan datang dengan memaklumkan semua usaha dan pencapaian, selain bersedia menjadi pejuang siber melawan persepsi yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang.

“Kita percaya jika keseluruhan jentera parti dapat mengambil peranan ini, ia tentu dapat membantu untuk mencapai kemenangan yang baik,” katanya.

Mengenai isu lain, Mohamed Khaled berkata, UMNO Johor turut menyambut baik kenyataan Najib yang mengulangi bahawa UMNO bukan parti yang rasis, sebaliknya sebuah parti yang meraikan kepelbagaian.

“Saya lihat perkara ini perlu ditimbulkan kembali kerana kadang kala ada suara daripada pemimpin UMNO peringkat bawah yang tidak faham dan sengaja sentiasa berucap yang menggambarkan seolah-olah seluruh UMNO tidak menerima kaum lain.

“Adalah rugi jika negara mempunyai pendekatan atau sikap dan pendirian untuk tidak mengiktiraf sumbangan kaum lain,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, mereka juga menyokong penuh ucapan dasar Presiden yang menolak pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan menyifatkannya sebagai tidak menjaga sensitiviti umat Islam serta mahu AS menilai kembali keputusan itu. -JAUHAR

Leave a Reply