Wanita UMNO Johor Saran 3 Perkara Perkasa Wanita

Wanita UMNO Johor Saran 3 Perkara Perkasa Wanita

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Akademi Ibu Terbaik Bangsa merupakan salah satu dari 3 saranan Pergerakan Wanita UMNO Johor dalam usaha memperkasa dan menghakupayakan wanita.

Wakilnya, Asiah Md. Ariff berkata, saranan tersebut juga adalah sebagai salah satu usaha bagi menyokong Tahun Memperkasa Wanita pada tahun hadapan.

“Keperluan untuk Wanita UMNO menubuhkan Akademi Ibu Terbaik Bangsa yang bermatlamat menjadi sebuah institusi penghakupayaan wanita. Ia merupakan rancangan pembangunan pemimpin wanita secara mampan dan berterusan serta menggilap potensi dan bakat yang ada agar penglibatan wanita dalam politik bukan sekadar mewarnai, tetapi dirasai,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Tinggi.

Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalama masa yang sama, Wanita UMNO Johor juga menyarankan supaya dibangunkan ‘Toolkit Asas Literasi Gender Untuk Komuniti’ bagi membina lingkungan masyarakat yang peka atau sensitif gender dalam usaha memperkasakan wanita.

“Siri Lokakarya (bengkel) Pemahaman Gender perlu dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan atau kumpulan masyarakat sebagaimana Siri Dialog TN50 seiring dengan pembangunan toolkit.

“Bertitik tolak dari kesedaran bahawa terdapat lompang besar dalam kalangan masyarakat tentang pemahaman gender itu sendiri, maka kedua-dua toolkit dan lokakarya perlu ada bagi mengarusperdanakan gender dalam kalangan komuniti.

“Pergerakan Wanita UMNO Malaysia boleh mengambil tanggungjawab menjuarai pendidikan Asas Literasi Gender Untuk Komuniti ini dan menjalin kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain,” katanya.

Tambahnya, Pergerakan Wanita UMNO Negeri Johor juga menyarankan agar Ketua Wanita UMNO Malaysia, Naibnya, pegawai-pegawai malahan exco-exco sayap turut diangkat ke dalam barisan Kabinet Malaysia bagi mengiktiraf suara dan sumbangsih pergerakan ini.

Leave a Reply