Tidak Perlu Dipertandingkan Presiden Dan Timbalan Presiden

Tidak Perlu Dipertandingkan Presiden Dan Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pemuda UMNO Johor menyokong seruan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Azman Jaafar, berkata ini bermakna akan ada kekosongan jawatan Naib Presiden UMNO pada masa hadapan.

“Mudah-mudahan perjalanan (politik) Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan berada pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy ketika menyampaikan ucapan dasar mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dan memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemudi parti terbabit.

Ketika ini, Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid, turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden selepas penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada kerajaan dan parti itu.

Sementara itu, Azman juga menyokong saranan Khairy agar memberi ruang dan peluang kepada Pemuda UMNO sebagai calon PRU-14.

“Saya mohon Pemuda dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mempertimbangkan hal ini dan kenal pasti calon-calon. Pemuda mesti mempunyai pemikiran tinggi dan kerajinan melawat akar umbi.

“Saya juga mahu semua Pemuda UMNO tidak menikam sesama sendiri memandangkan PRU akan menjelang tidak lama lagi selain merapatkan saf bagi memperjuangkan parti,” katanya.

Berhubung gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50), Azman berkata, pihaknya harus menyokong pelaksanaan TN50 yang telah diamanahkan oleh Najib kepada Khairy dan memastikannya menjadi kenyataan jika menang PRU-14.

“Perancangan (TN50) yang dilakukan oleh Khairy telah lama dilakukan bermula daripada peringkat akar umbi, bukan parti.

“Namun, apabila (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan Wawasan 2020, ia menggunakan konsep dari atas ke bawah. Tetapi, Najib pula dari bawah ke atas yang menunjukkan Presiden ini amat meyakinkan dan akan terus sokong beliau menjadi Perdana Menteri akan datang,” katanya.

Beliau berkata, tawaran dan agenda Melayu maju juga harus ditekan dalam TN50 agar orang Melayu terus menguasai ekonomi digital. –JAUHAR

Leave a Reply