Perkenalkan Skim Pemilikan ‘Kedai Pertamaku’

Perkenalkan Skim Pemilikan ‘Kedai Pertamaku’

KUALA LUMPUR, 6 Dis. – Kerajaan perlu terus memberi keutamaan kepada agenda ekonomi kerana ia merupakan salah satu tonggak utama negara yang berupaya memantapkan survival dan mobiliti bumiputera.

Menyedari kepentingan itu, Puteri UMNO Johor hari ini mencadangkan salah satu inisiatif untuk terus memperkasa ekonomi bumiputera termasuklah dalam usaha meningkatkan pemilikan hartanah perniagaan dengan memperkenalkan Skim Pemilikan Kedai Pertamaku.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Gelang Patah, Fazilah Musaki berkata pelaksanaan skim tersebut yang menggunakan konsep seumpama Skim Rumah Pertamaku diyakini mampu membantu peniaga bumiputera memiliki lot perniagaan sendiri.

“Ia mengambil konsep pelaksanaan Skim Rumah Pertamaku yang dilaksanakan oleh kerajaan, maka konsep itu wajar digunakan untuk membeli kedai pertamaku iaitu tanpa deposit.

“Dengan pelaksanaan skim ini, saya yakin akan lebih ramai bumiputera mampu untuk memiliki lot perniagaan sendiri yang akan menyumbang kepada peratusan pemilikan hartanah perniagaan dalam kalangan bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pergerakan Puteri UMNO Johor bagi menyokong usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dekat sini, hari ini.

Jelas beliau, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan usahawan mampu memiliki lot kedai sendiri, namun ia masih sukar dilaksanakan.

Dalam ucapan sama, Puteri UMNO Johor turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang telah menyalurkan peruntukan RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerusi Bajet 2018 dalam usaha memperhebat Industri Kecil Sederhana (IKS) di negara ini.

Fazilah berkata bagi memastikan peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan usahawan mikro, Puteri UMNO Johor mencadangkan agar kerajaan menambah baik undang-undang pinjaman kewangan AIM tersebut.

Menurut beliau, terdapat banyak aduan kes yang diterima melibatkan sistem pinjaman berkumpulan tersebut.

“Maka Pergerakan Puteri UMNO Johor mencadangkan agar undang-undang dan klausa sedia ada ditambah baik oleh pihak kerajaan agar tidak menjadi penganiayaan terhadap usahawan kecil-kecilan ini,” katanya. –JAUHAR

Leave a Reply